JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Gempur Banglo Jadi 'Sarang' Sindiket Penipuan, Tahan 15 Lelaki

29/05/2025 10:54 PM

JOHOR BAHRU, 29 Mei (Bernama) -- Polis menahan 15 lelaki termasuk seorang warga tempatan selepas menggempur sebuah banglo di Batu Pahat yang disyaki dijadikan sarang sindiket penipuan tawaran kerja dalam talian, Ahad lepas. 

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata serbuan dijalankan kira-kira 5.15 pagi dan polis turut merampas 14 komputer riba serta 19 telefon bimbit dianggarkan bernilai RM30,000 yang disyaki digunakan dalam kegiatan penipuan itu.

“Kesemua 14 warga asing dan seorang lelaki tempatan itu berusia antara 21 hingga 38 tahun. Mereka disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, sindiket berkenaan beroperasi pada Mac lepas dengan menjadikan premis itu sebagai pusat panggilan.

 Ahli sindiket didapati menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk berkomunikasi dan menawarkan kerja dalam talian yang tidak wujud dengan menyasarkan mangsa dari Rusia.

Kumar berkata kertas siasatan kes itu telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan pihaknya telah diarahkan mendapatkan beberapa keterangan lain bagi menguatkan keterangan kes. 

"Sehubungan itu, polis memberi amaran tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menjadikan Johor sebagai tapak untuk menjalankan kegiatan menyalahi undang-undang," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan