AM

Op Paras: 143 Kenderaan Dikenakan Notis Arahan Menimbang Kenderaan

29/05/2025 05:58 PM

KUALA LANGAT, 29 Mei (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengeluarkan 143 notis dan arahan menimbang kenderaan terhadap kenderaan barangan menerusi Op Paras yang dijalankan bermula 1 Mei lepas.

Pengarahnya Azrin Borhan berkata antara kesalahan paling tinggi direkodkan ialah membawa muatan melebihi had dibenarkan dengan 724 kes, membawa muatan secara berbahaya (645 kes) dan 23 kenderaan disita kerana membawa muatan melebihi 70 peratus daripada berat dibenarkan.

Beliau berkata mahu mengejar komisen atau keuntungan antara alasan diberikan pemandu untuk sanggup membawa muatan melebihi had dibenarkan.

"Op Paras menumpukan kepada penguatkuasaan terhadap kenderaan barangan yang melakukan kesalahan membawa muatan melebihi had dan mengangkut barangan secara berbahaya.

"Menerusi operasi ini, kita (JPJ) dapati kenderaan yang sering dikesan membawa lebih muatan ialah lori yang mengangkut batu, pasir, tanah serta sisa kelapa sawit," katanya pada sidang media Ops Paras di Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) di sini hari ini.

Azrin berkata Op Paras turut bertujuan membendung peningkatan kes kemalangan berpunca daripada kenderaan berat yang tidak mematuhi undang-undang dan piawaian keselamatan jalan raya, khususnya melibatkan kesalahan membawa muatan berlebihan.

Berhubung dakwaan pihak 'tonto' memantau pergerakan dan operasi JPJ dalam menangani isu kenderaan perdagangan khususnya membawa muatan berlebihan, beliau berkata pihaknya tidak menolak kewujudan elemen terbabit, namun setakat ini tiada ancaman kritikal diterima sama ada secara lisan atau bertulis.

Azrin berkata JPJ akan terus melaksanakan operasi berkala menggunakan pelbagai kaedah bagi mengelak dikesan tonto termasuk dengan berpakaian preman dan menggunakan kenderaan tidak berlogo untuk melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan perdagangan.

"Kesalahan membawa muatan secara berbahaya bukan sahaja mendatangkan risiko kepada pemandu, tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain serta boleh mengancam alam sekitar sekiranya berlaku tumpahan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan