AM

Situasi Demam Denggi Di Selangor Catat Penurunan - Exco

29/05/2025 03:26 PM

SHAH ALAM, 29 Mei (Bernama) -- Situasi demam denggi di Selangor menunjukkan trend penurunan susulan langkah kawalan yang dilaksanakan secara bersepadu pelbagai pihak, kata Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri Jamaliah Jamaluddin.

Beliau berkata setakat Minggu Epidemiologi 21, tahun ini (ME 21/2025) yang berakhir pada 24 Mei lepas, Selangor mencatatkan sebanyak 519 kes demam denggi.

Beliau berkata bilangan kes itu dikesan menurun sebanyak 8.3 peratus atau 566 kes pada minggu sebelumnya iaitu ME 20/2025.

“Secara kumulatif, 11,003 kes demam denggi telah dicatatkan di Selangor hingga ME 21/2025, turut menunjukkan penurunan ketara sebanyak 66 peratus berbanding 21,316 kes bagi tempoh sama 2024,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jamaliah berkata dua kematian akibat denggi direkodkan setakat ini berbanding 11 kes dalam tempoh sama tahun lepas.  

Beliau berkata trend penurunan itu membuktikan keberkesanan tindakan bersepadu antara Jabatan Kesihatan Selangor (JKNS), pihak berkuasa tempatan, agensi berkaitan serta komuniti dalam melaksanakan aktiviti kawalan dan pencegahan denggi di Selangor.

Jamaliah berkata bagaimanapun, kerajaan negeri ingin mengingatkan orang ramai supaya terus berwaspada serta memastikan kawasan kediaman dan persekitaran bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes, terutamanya menjelang musim hujan.

“Kerjasama berterusan semua pihak amat diperlukan bagi memastikan Selangor dapat terus mengekalkan trend penurunan kes demam denggi ini,” katanya.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan