AM

Jemaah Berpuas Hati, Kafeteria Disediakan TH Saji Menu Malaysia

29/05/2025 11:04 AM

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MAKKAH, 29 Mei (Bernama) -- Layanan mesra, harga berpatutan dan sajian menepati cita rasa Malaysia, menjadi antara faktor jemaah haji Malaysia berpuas hati dengan perkhidmatan kafeteria disediakan Lembaga Tabung Haji (TH) di tujuh Bangunan Penginapan Jemaah Haji (BPJH), di sini.

Jemaah haji Muhamad Fakhri Kamarul Zaman, 34, yang berpuas hati dengan harga ditawarkan berkata ia lebih murah berbanding kedai makan atau pasar raya di luar.

"Kalau banding dengan harga di pasar raya atau kedai luar, sini (kafateria) lagi murah.Makanan di kafe macam makanan di Malaysia, dan paling saya suka ialah nasi lemak yang menepati cita rasa saya," katanya ketika ditemui media, baru-baru ini.

Muhamad Fakhri berkata kelonggaran sistem pembayaran oleh pihak kafeteria turut memudahkan jemaah haji dengan membenarkan bayaran dibuat pada bila-bila masa bagi mengelakkan kesesakan ketika waktu puncak.

Normah Mat Noor, 59,  juga berpuas hati dengan keprihatinan TH dalam menyediakan makanan cita rasa Malaysia, membuatkan mereka seolah-olah berada di tanah air.

"Saya rasa berbaloi sangat dapat tunaikan haji dan tinggal di sini. Kami rasa macam berada di Malaysia dan inisiatif ini sangat bagus serta memenuhi selera rakyat kita," katanya.

Sementara itu, Pengurus Operasi Kafeteria TH Makkah Muhammad Najib Zulkifi berkata TH akan sentiasa memastikan jemaah haji Malaysia dapat menikmati sajian makanan berkualiti dan bersih dengan harga berpatutan.

"Penetapan harga makanan di semua kafeteria berkenaan dilaksanakan mengikut garis panduan  ditetapkan oleh pihak TH bagi memastikan ia tidak membebankan jemaah. Sebagai contoh, makanan berat seperti nasi lemak dijual sekitar enam hingga 10 Riyal, bergantung pada jenis lauk.

“Kuih-muih pula dijual sekitar lima Riyal, lebih rendah daripada had maksimum enam Riyal yang dibenarkan,” katanya.

Muhammad Najib berkata terdapat tujuh kafeteria di BPJH Makkah dengan tiga daripadanya di bawah TH iaitu di Abraj Al Janadriyah, Hotel Land Premium dan Abraj Al Tayseer.

“Setiap kafeteria mula beroperasi seawal 4.30 pagi hingga 11 malam, dan makanan yang dimasak dihantar seawal 4 pagi.

“Pemeriksaan kualiti dilakukan setiap dua jam bagi memastikan makanan yang disajikan sentiasa segar dan selamat dan jika didapati tidak elok, makanan tersebut akan ditarik balik dan dilupuskan, tidak akan disimpan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan