AM

PPM, UTM Lancar Buku 'Baca' Versi Braille Dan Audio Untuk OKU Penglihatan

28/05/2025 07:56 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) dengan kerjasama Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini melancarkan buku “Baca” versi Braille dan audio bagi memberi akses bahan bacaan kepada orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhammad berkata buku itu bukan sekadar memperkenalkan bahan bacaan baharu, tetapi juga mencerminkan satu gerakan kesedaran bahawa membaca adalah hak untuk semua.

“Inisiatif ini dilihat sebagai langkah penting bagi memastikan setiap individu, termasuk anak-anak berkeperluan khas tidak tercicir daripada aktiviti pembudayaan ilmu.

“Saya berharap agar usaha ini bukan hanya dalam penyediaan bahan bacaan Braille dan buku audio, tetapi juga penyediaan persekitaran pembelajaran yang mesra, guru terlatih dan teknologi sokongan yang inovatif,” katanya yang juga isteri Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan buku “Baca” versi Braille dan audio itu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini yang turut dihadiri Presiden Persatuan Pustakawan Dr Ghazali Mohamed Fadzil.

Sebanyak sembilan penulis terdiri daripada ahli PPM dan golongan profesional termasuk Pengurus Maklumat Perpustakaan Digital Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Hasnita Ibrahim terlibat dalam penulisan buku berkenaan. 

Sementara itu, Ghazali berkata buku “Baca” adalah sebahagian daripada projek transliterasi kempen “Baca Celik Hati” yang digerakkan oleh Perpustakaan UTM pada 2000.

Beliau berkata buku itu menghimpunkan kisah inspirasi, pengalaman dan semangat yang menjadi tunjang profesion kepustakawanan dan merangkumi latar belakang perpustakaan di Malaysia termasuk manfaat membaca, pengurusan perpustakaan keluarga, biblioterapi dan isu kompulsif berkaitan buku.

Menurut Ghazali pada 2023 melalui “Projek Satu Aksara Sejuta Amalan” dengan kolaborasi strategik Perpustakaan UTM dan PPM, buku “Baca” berjaya ditransliterasikan kepada versi Braille dan audio sebagai usaha untuk merapatkan jurang akses maklumat dan memperkukuh budaya literasi terangkum dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata naskhah Braille itu akan diserahkan kepada sekolah berkeperluan khas terpilih seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan