DUNIA

RM BTS Menang Artis K-pop Kegemaran Di Anugerah Muzik Amerika 2025

27/05/2025 06:09 PM

SEOUL, 27 Mei (Yonhap) -- RM, ketua kumpulan K-pop sensasi BTS merangkul anugerah Artis K-pop Kegemaran di Anugerah Muzik Amerika (AMA) 2025, iaitu satu daripada tiga anugerah muzik utama di Amerika Syarikat.

Anugerah itu disampaikan semasa majlis yang berlangsung di Fontainebleau Las Vegas pada Isnin (waktu tempatan), lapor agensi berita Yonhap memetik laman sesawang rasmi AMA.

Kategori Artis K-pop Kegemaran diperkenalkan pada 2022, dengan BTS memenangi anugerah itu buat kali pertama.

Kemenangan solo RM tahun ini meneruskan legasi kumpulan itu di pentas AMA.

Anggota BLACKPINK, Rose turut dicalonkan dalam kategori Kolaborasi Terbaik menerusi lagu “APT.” bersama bintang pop antarabangsa Bruno Mars, namun anugerah itu dimenangi oleh Bruno Mars dan Lady Gaga menerusi lagu “Die With A Smile.”

Bintang pop Billie Eilish mendominasi malam itu, memenangi tujuh anugerah termasuk Artis Terbaik, Album Terbaik dan Lagu Terbaik untuk album terbarunya "Hit Me Hard and Soft."

Dilancarkan pada 1974, AMA dianggap sebagai antara anugerah muzik paling berpengaruh di Amerika Syarikat, setaraf dengan Grammy Awards dan Billboard Music Awards.

AMA kembali dianjurkan tahun ini selepas berehat selama tiga tahun, dengan edisi terakhir berlangsung pada 2022.

BTS sebelum ini memenangi anugerah di AMA selama lima tahun berturut-turut dari 2018 hingga 2022.

-- BERNAMA-YONHAP

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan