KOTA KINABALU, 27 Mei (Bernama) -- Peserta pertandingan Unduk Ngadau yang dikehendaki menghasilkan filem pendek berunsurkan Budaya, Pengembaraan dan Alam Semula Jadi (CAN) berpotensi menjadi duta dalam mempromosikan pelancongan Sabah.
Pembantu Menteri Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar negeri Datuk Joniston Bangkuai berkata para peserta memiliki potensi untuk menjadi pencipta kandungan berpengaruh yang mampu menjangkau khalayak tempatan dan antarabangsa.
“Menerusi penceritaan mereka, mereka boleh mengetengahkan agropelancongan, warisan tempatan dan kehidupan luar bandar dengan cara yang menghubungkan khalayak tempatan dan luar negara,” katanya semasa merasmikan Majlis Anugerah Filem Pendek CAN sempena pertandingan Unduk Ngadau peringkat negeri hari ini.
Setiap peserta dikehendaki menghasilkan sebuah filem pendek di bawah kategori CAN yang bertemakan ‘Kaamatan Untuk Semua’, dengan penekanan khusus terhadap penakrifan semula sumber air dan tenaga, terutamanya yang berkait rapat dengan komuniti dan pertanian.
Joniston berkata inisiatif filem pendek itu menambah nilai kepada pertandingan Unduk Ngadau dengan menggalakkan peserta untuk berkongsi kisah yang mencerminkan isu sebenar dan pengalaman masyarakat.
Beliau berkata sangat bertepatan bagi peserta Unduk Ngadau mempromosikan konsep CAN kerana mereka mewakili kepelbagaian masyarakat dan keunikan tempat-tempat di Sabah.
“Usaha seperti pertandingan CAN ini penting untuk menggalakkan penyertaan belia dalam mempromosikan identiti dan pelancongan Sabah melalui perspektif mereka sendiri,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial