AM

Kumpulan Kebudayaan Gombak Ungguli World Cup Of Folklore Jesolo 2025

26/05/2025 11:20 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Kumpulan Kebudayaan Gombak, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Gombak sekali lagi mencipta sejarah apabila meraih kejayaan cemerlang dalam pertandingan ‘World Cup of Folklore Jesolo 2025’ yang berlangsung di Jesolo, Itali.

Perkhabaran gembira itu dikongsi seorang daripada guru pengiring, Mira Masmira menerusi hantaran Facebooknya, sambil meluahkan rasa syukur atas kejayaan cemerlang pasukan Malaysia dalam pertandingan berprestij itu.

Kumpulan itu yang diwakili beberapa pelajar sekolah dari daerah Gombak telah menyertai enam kategori pertandingan dan berjaya membawa pulang empat kejuaraan serta dua naib johan menerusi pelbagai persembahan berasaskan seni budaya tradisional dan kontemporari.

Persembahan yang dinobatkan juara antaranya ialah tarian sewang dan kuda kepang bagi kategori kanak-kanak serta remaja, silat tari inai untuk kategori dewasa serta persembahan bertajuk “Balqis” iaitu gabungan nyanyian dan tarian samrah yang dipersembahkan oleh kumpulan campuran remaja dan dewasa.

Naib juara pula ialah bagi persembahan tarian magunatip dalam kategori dewasa, serta persembahan Malaysian Art Dance yang mempamerkan gabungan tarian Cina, zapin dan inang kontemporari bagi kategori kanak-kanak dan remaja.

Pertandingan yang diadakan pada 23 hingga 26 Mei itu dikelolakan oleh European Association of Folklore Festivals dan disertai oleh 152 kumpulan dari seluruh dunia.

Pada 2023, kumpulan itu telah dinobatkan sebagai naib johan World Cup of Folklore Veliko Tarnovo di Bulgaria.

Sementara itu, ibu kepada dua peserta cilik dari Sekolah Kebangsaan Taman Melawati, Nur Hidayah Jaafar, 38, menyifatkan kejayaan dua anak perempuannya di pentas antarabangsa itu sebagai satu pengalaman luar biasa dan di luar jangkaan.

Nur Hidayah berkata rasa bangga dan syukur sukar digambarkan dengan kata-kata apabila melihat Audrey Anna Makeen Abdullah Mus’ab, 12, dan Afraa Allyse Manaheel, 11, yang baru sahaja menyertai kumpulan itu tahun ini, berjaya menyerlah di pentas antarabangsa.

“Saya tidak pernah bayangkan mereka berpeluang mewakili negara ke pentas dunia, apatah lagi membawa pulang kemenangan. Ia satu pengalaman yang sangat bermakna dan menjadi kenangan seumur hidup buat kami sekeluarga,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan