KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) Chin Keat Chyuan menerima Anugerah Kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cemerlang ASEAN dalam Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan sempena Forum Kepimpinan dan Perkongsian ASEAN 2025 di sini semalam.
KPJ Healthcare dalam kenyataan memaklumkan anugerah itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan berwawasan Chin dalam menjadikan KPJ Healthcare sebagai organisasi berteraskan tujuan dan berfokuskan pesakit, selari dengan aspirasi ASEAN untuk pertumbuhan yang inklusif, inovatif dan mampan.
“Sejak dilantik pada September 2023, Chin telah mengetuai agenda transformasi yang komprehensif dengan fokus kepada prestasi kewangan, perubahan budaya, kecemerlangan operasi dan penciptaan nilai.
“Di bawah kepimpinannya, KPJ Healthcare merekodkan keputusan kewangan tertinggi dengan pelaksanaan penjenamaan semula di peringkat Kumpulan dan membangunkan KPJ Health System yang menggabungkan kecemerlangan klinikal, penyelidikan dan pendidikan perubatan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Chin dalam kenyataan sama berkata pengiktirafan itu bukan miliknya seorang sebaliknya hasil dedikasi seluruh warga KPJ Healthcare serta sokongan padu yang diterima daripada Lembaga Pengarah dan pemegang saham kumpulan itu.
“Bersama-sama, kita bukan sahaja mentransformasi sistem tetapi juga membentuk semula cara berfikir dengan menerapkan budaya kerja yang meletakkan pesakit, doktor, warga kerja, rakan strategik dan alam sekitar sebagai teras utama.
“Misi kami jelas, untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang bukan sahaja cemerlang, tetapi juga berteraskan nilai kemanusiaan, dipacu data dan mampan,” katanya.
Forum yang bertemakan “Unleashing ASEAN’s Potential Through Innovative, Inclusive and Sustainable Growth,” berlangsung semalam di InterContinental Kuala Lumpur dan dianjurkan bersama oleh KSI Strategic Institute for Asia Pacific, ASEAN Economic Club (AEC), ASEAN Business Advisory Council (ASEAN-BAC) dan ASEAN Business Club (ABC) serta China Daily dan disokong oleh World Digital Chamber (WDC).
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan