PUTRAJAYA, 25 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Vietnam Pham Minh Chinh hari ini menyaksikan pertukaran tiga dokumen antara Malaysia dan Vietnam yang menyasarkan pada pengukuhan kerjasama dalam tenaga, pendidikan dan integrasi serantau.
Majlis pertukaran itu, berlangsung di Kompleks Perdana Putra di sini, diadakan susulan mesyuarat dua hala antara kedua-dua pemimpin sempena lawatan rasmi Chinh ke Malaysia.
Dokumen pertama ialah Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Vietnam Electricity (EVN) dalam Grid Kuasa ASEAN dan pembinaan keupayaan strategik.
TNB diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan manakala EVN diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nguyen Anh Tuan.
Dokumen kedua merupakan Surat Hasrat untuk kerjasama antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Vietnam National University, Ho Chi Minh City.
UKM diwakili Pemangku Naib Canselor Prof Dr Abdul Halim Abdul Gapor manakala Vietnam National University, Ho Chi Minh City diwakili Naib Canselor Prof Madya Nguyen Minh Tam.
Sementara itu, dalam satu lagi pertukaran Surat Hasrat bagi kerjasama yang memfokuskan kepada perkongsian strategik dan integrasi di ASEAN antara Malaysia dan Vietnam; Pengarah IKMAS Prof Sufian Jusoh mewakili UKM manakala Vietnam National University, Hanoi diwakili Naib Presiden Prof Dr Pham Bao Son.
Vietnam merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia di peringkat global dan keempat terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN. Jumlah dagangan dua hala Malaysia-Vietnam mencecah RM83.11 bilion dengan eksport Malaysia ke Vietnam bernilai RM53.86 bilion manakala import dari Vietnam berjumlah RM29.25 bilion.
Syarikat Malaysia telah melaksanakan lebih 700 projek di Vietnam merentasi pelbagai sektor dengan nilai pelaburan kumulatif melebihi USD13 bilion (RM55 bilion).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial