SUKAN

Hannah Ucap Tahniah Kepada Wei Chong-Kai Wun Muncul Juara Masters Malaysia 2025

25/05/2025 07:48 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengucapkan tahniah kepada pasangan beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun di atas kejayaan bergelar juara Masters Malaysia 2025 sekali gus menghadiahkan kemenangan pertama Malaysia dalam kategori itu selepas 12 tahun.

Pasangan berkenaan muncul pemenang selepas menewaskan rakan senegara yang juga juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam pertarungan tiga set penuh mendebarkan di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini dengan keputusan 21-12, 15-21, 21-16.

Hannah berkata ini merupakan gelaran kedua pasangan berkenaan pada tahun ini selepas memenangi Indonesia Masters 2025 pada Januari lepas.

“Syabas kepada Aaron Chia-Wooi Yik juga kerana mara ke final kedua mereka dalam tempoh seminggu (selepas menjuarai Terbuka Thailand),” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Dengan kemenangan berkenaan, Wei Chong-Kai Wun muncul beregu lelaki Malaysia pertama memenangi gelaran Malaysia Masters sejak Goh V Shem-Lim Khim Wah melakukannya pada 2013.

Turut hadir menyaksikan perlawanan berkenaan ialah Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan