LANGKAWI, 24 Mei (Bernama) -- Kementerian Pertahanan akan terus menambah baik acara Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) untuk menjadikannya kekal sebagai acara dwitahunan yang berprestij untuk negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berpuas hati dengan penganjuran pada tahun ini, terutama apabila ia turut mendapat pujian dan maklum balas positif daripada wakil peserta antarabangsa.
“Mereka memuji penganjuran LIMA edisi ke-17 ini, mereka kata LIMA 2025 lebih baik, lebih lancar dan lebih teratur dan mereka mendapat maklumat lebih awal dan lebih tersusun,” katanya semasa berucap pada majlis penutup LIMA 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata acara LIMA bukan sahaja sebuah pameran dan pertunjukan aset pertahanan semata-mata, tetapi mempunyai makna dan matlamat yang jauh lebih besar serta komprehensif.
LIMA menjadi arena mewujudkan rasa bangga dan simbol kepada negara yang berupaya menganjurkan satu pameran bertaraf antarabangsa.
Selain itu, beliau berkata LIMA juga satu platform bagi kerajaan dan negara mengikuti perkembangan dalam sektor pertahanan yang boleh membawa manfaat dalam bentuk kesiagaan pertahanan negara.
“LIMA juga peluang bagi kita menyampaikan kepada rakyat, apabila mereka hadir, sama-sama melihat pameran yang disediakan, maka akan timbul rasa hormat, sokongan dan kefahaman bahawa kebebasan, keamanan dan keselamatan yang mereka nikmati hari ini adalah kerana peranan yang dimainkan oleh pasukan angkatan tentera dan pasukan keselamatan kita,” katanya.
Pada masa sama, Mohamed Khaled berkata LIMA juga menjadi platform mempamerkan aspek kepentingan dan keunggulan teknologi.
“LIMA juga instrumen diplomasi pertahanan yakni peluang digunakan untuk kita bertemu dengan negara-negara lain, negara sahabat yang ingin mewujudkan hubungan lebih rapat dan baik dengan kita,” katanya.
Beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh pihak yang terlibat menjayakan LIMA pada tahun ini, terutama dalam memastikan acara itu berjalan lancar dan tersusun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial