AM

ASEAN: Kerjasama Serantau, Zon Bebas Senjata Nuklear Antara Dibincangkan Mesyuarat SOM

24/05/2025 05:20 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Usaha memperkukuh dan menggiatkan semula kerjasama dengan rakan bukan ASEAN antara perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN (SOM) yang bermula pada hari ini, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata perbincangan turut memfokuskan isu berkenaan Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) serta pengukuhan kerjasama melalui Forum Serantau ASEAN (ARF).

“Tumpuan hari ini pada peringkat pegawai kanan, kita selaraskan isu-isu yang akan diberikan pertimbangan untuk mesyuarat peringkat menteri pada pagi esok serta peringkat ketua negara dan kerajaan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

“ … pada peringkat pegawai kanan, agendanya ialah gerak kerja kita bagi bulan berikutnya hingga Disember 2025 bagi tempoh Kepengerusian ASEAN 2025,” katanya kepada pemberita hari ini. 

Mesyuarat SOM yang bermula pada 8.30 pagi itu menghimpunkan pegawai-pegawai kanan ASEAN, wakil SOM Timor-Leste, dan pegawai daripada Sekretariat ASEAN, bagi tujuan menyelaraskan kedudukan dalam isu-isu serantau utama menjelang sesi rundingan pemimpin negara ASEAN.

Dalam pada itu, Amran berkata mesyuarat turut meneliti isu keanggotaan Timor-Leste yang kekal menjadi antara fokus utama dalam perbincangan peluasan dan penglibatan ASEAN.

“ … Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) akan mengadakan curtain raiser atau sidang media pada esok. Maklumat terperinci boleh dikongsikan semasa sesi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata persiapan untuk Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) turut dibincangkan pada peringkat pegawai kanan.

“Pada bulan Jun nanti, kita ada mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN, ASEAN Campur Tiga – China, Jepun dan Republik Korea, serta mesyuarat kanan ARF dan EAS, jadi banyak aspek kita beri tumpuan pada hari ini kerana apabila mesyuarat diadakan pada Jun nanti, ASEAN secara kolektifnya bersedia merangka hala tuju, mekanisme,” katanya. 

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” ialah tuan rumah bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46. Ia merupakan kali kelima negara menerajui blok serantau itu, selepas menjadi Pengerusi pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.

Selain mesyuarat peringkat ASEAN, sidang kemuncak kali ini juga akan menampilkan dua platform antara rantau yang penting, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang diadakan buat julung-julung kalinya, jelas mencerminkan peningkatan penglibatan ASEAN dengan rakan kongsi antarabangsa yang penting.

Sidang Kemuncak ASEAN dan mesyuarat berkaitan dijangka menangani pelbagai isu serantau dan global yang mendesak, dengan situasi di Myanmar kekal menjadi topik kritikal yang menjadi perhatian utama negara anggota ASEAN.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan