POLITIK

UMNO Tidak Tamak Minta Jawatan Menteri Kabinet Jika Berlaku Kekosongan

24/05/2025 03:48 PM

KUANTAN, 24 Mei (Bernama) -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak tamak untuk meminta jawatan menteri kabinet yang berkemungkinan kosong susulan keputusan pemilihan kepimpinan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), semalam.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berkata sekiranya berlaku kekosongan, ia hak PKR. 

"Itu hak mereka, kita tidak boleh campur dan kita tahu batas-batas permintaan kita … .Saya tidak fikir UMNO begitu tamak untuk memohon jawatan itu diberikan kepada UMNO.

“Kita bersyukur kerana kita ada tujuh menteri UMNO dalam barisan Jemaah Menteri," katanya pada sidang media selepas merasmikan “Eastern International TVET” di sini hari ini, dan turut hadir pada majlis ini Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Pada 10 Mei lepas, Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan dalam Kabinet jika gagal mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata UMNO tidak akan campur tangan dalam urusan dalaman parti lain, termasuk PKR, sebaliknya mahu memberi tumpuan terhadap parti sendiri. 

"Saya tidak seharusnya campur dalam urusan parti lain dan tentunya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan sesuatu terbaik supaya kerajaan sedia ada dan anggota Jemaah Menteri dapat bergerak terus seiring sejalan untuk menentukan pengukuhan Kerajaan MADANI," katanya. 

Selain itu, Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan baharu PKR, termasuk Nurul Izzah Anwar serta berharap dapat mengeratkan lagi jalinan hubungan dengan UMNO melalui Pakatan Harapan dan BN. 

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid mengumumkan pelantikan Wan Rosdy sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Usahawan.

Ahmad Zahid ialah pengerusi jawatankuasa berkenaan.

Wan Rosdy sebelum ini turut dilantik sebagai Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Kebangsaan (MPUPK).

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan