KUCHING, 21 Mei (Bernama) -- Sebanyak 879 belia Sarawak mendapat manfaat Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), dilaksanakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi SME Corp Malaysia (SME Corp).
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata penglibatan belia dalam program itu juga mencipta lebih 1,691 peluang pekerjaan dan menjana jualan terkumpul melebihi RM13.65 juta.
“Selain Program TUBE, SME Corp juga menawarkan pelbagai bantuan kewangan dan bukan kewangan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) termasuk belia, untuk memula serta mengembangkan perniagaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program TUBE 11 di sini hari ini.
Awang Tengah berkata antara contoh bantuan diberikan ialah Program Tunas-i, Program Bumiputera MSMEs Financing Initiative (BMFI)@BEEP dan Program Galakan Eksport Bumiputera (GEB).
Selain itu, beliau berkata setakat ini pelaksanaan bantuan tersebut telah memberi manfaat kepada 5,055 PMKS di Sarawak, dengan nilai bantuan berjumlah RM20 juta.
Sehubungan itu, beliau berharap SME Corp terus komited melaksanakan inisiatif keusahawanan di Sarawak, termasuk peningkatan akses pasaran dan pemadanan perniagaan antarabangsa melalui Sarawak Connect.
Sementara itu, SME Corp dalam kenyataan memaklumkan 61 belia Bumiputera Sarawak dipilih untuk menyertai Program TUBE 11, bermula hari ini sehingga 28 Mei.
Selain menyediakan Geran Permulaan Perniagaan sehingga RM15,000, Program TUBE juga bertujuan memupuk semangat keusahawanan serta membentuk daya tahan, disiplin dan kepimpinan dalam pengendalian perniagaan.
Edisi kali ini ditambah baik dengan pengisian berkaitan kecerdasan buatan (AI), pendigitalan serta penerapan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Sejak diperkenal pada 2014, Program TUBE telah melatih 8,653 belia dan menyalurkan RM125.84 juta geran perniagaan, termasuk RM12.65 juta yang dimanfaatkan oleh belia dari Sarawak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial