KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) Dr Ravigadevi Sambanthamurthi mencipta sejarah muncul saintis pertama Malaysia dipilih sebagai Felo Royal Society, sebuah akademik sains paling berprestij dan tertua di dunia.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Ravigadevi akan dilantik secara rasmi sebagai Felo Royal Society di London pada 11 Julai, dengan beliau menandatangani Charter Book bersejarah Royal Society yang turut menghimpunkan tandatangan tokoh sains ternama sejak lebih tiga abad lepas.
Sebagai perintis dalam bidang bioteknologi, Ravigadevi dilantik sebagai Felo ASM pada 2010 dan kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Disiplin Sains, Bioteknologi, Pertanian dan Alam Sekitar.
“Beliau juga merupakan Felo Akademi Sains Dunia. Sebagai bekas Pengarah Pusat Kemajuan Bioteknologi dan Biakbaka, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), beliau mengetuai penyelidikan transformatif dalam bidang biokimia dan genom kelapa sawit.
“Inovasi beliau memberi impak global terutama dalam meningkatkan hasil, kecekapan sumber dan kelestarian alam sekitar.
“Antara pencapaian besar beliau ialah mengetuai pasukan menyahkod genom kelapa sawit, yang merupakan penemuan saintifik penting dan diterbitkan dalam jurnal berprestij, Nature. Ini membawa kepada penemuan gen SHELL yang memainkan peranan penting dalam menentukan hasil minyak,” menurut kenyataan itu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dalam kenyataan sama memuji pencapaian Ravigadevi itu dan menyifatkannya sebagai detik bersejarah buat Malaysia.
“Pengiktirafan ini bukan sekadar kejayaan peribadi tetapi juga simbol pendirian Malaysia di bawah rangka Malaysia MADANI, iaitu sebuah negara yang meningkatkan kemakmuran menerusi pengetahuan dan memperjuangkan kelestarian melalui inovasi.
“MOSTI akan terus membina ekosistem yang memupuk kecemerlangan, mempercepat impak dan meletakkan Malaysia sebagai negara penyumbang dihormati dalam bidang sains dunia,” katanya.
Sementara itu, Ravigadevi berkata pengiktirafan diberikan itu bukanlah pencapaian peribadi tetapi penghargaan kepada pasukan yang pernah bekerjasama dengan beliau.
“Kemajuan saintifik bukan hasil individu semata-mata. Ia adalah daripada visi bersama, dedikasi dan kerjasama erat. Ekosistem penyelidikan dinamik di MPOB serta komitmen rakan penyelidik telah menjadikan ia boleh dicapai,” katanya.
Sementara itu, Presiden ASM Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata pelantikan rakyat Malaysia dalam keanggotaan berprestij itu menandakan pengiktirafan meluas terhadap sumbangan saintifik negara di persada antarabangsa.
“Lebih penting, penyelidikan Ravigadevi telah meningkatkan pemahaman saintifik dan membawa manfaat nyata kepada masyarakat,” katanya.
Royal Society yang ditubuhkan pada 1660, menghimpunkan tokoh sains terulung dunia sebagai Felo antaranya Isaac Newton, Charles Darwin, Albert Einstein dan Stephen Hawking.
Pada tahun ini, lebih 90 individu dari negara seperti Malaysia, Singapura, Afrika Selatan, China dan Switzerland dipilih untuk menyertai Felo Royal Society.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial