SEREMBAN, 21 Mei (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memperluaskan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memproses permohonan perakuan pelan bangunan, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM Othman Abdullah.
Beliau berkata pihaknya telah melaksanakan projek rintis penggunaan AI di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim, Kedah dan juga BBP Kulai, Johor.
“Kita kini ke arah itu (penggunaan AI), projek rintis berkenaan untuk (perakuan) bangunan tiga atau empat tingkat dengan pada masa depan kita tumpu projek pembangunan lebih besar kerana kelebihan menggunakan AI, ia lebih cepat dan berintegriti.
“Menerusi sistem AI ini, semua data dimasukkan secara digital dalam pemprofilan tertentu, maknanya apabila mereka mengemukakan pelan dalam sistem, ia akan diperinci secara automatik dan mengenal pasti perkara yang mematuhi atau tidak yang sebelum ini kita kena tengok satu per satu secara manual,” katanya.
Othman berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Seminar Badan Peneraju Industri (ILB) Bidang Kebombaan Tahun 2025 JBPM Negeri Sembilan di sini hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan projek rintis itu juga membolehkan proses memperoleh Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) diselesaikan dalam masa sehari, berbanding tempoh 14 hari melalui kaedah manual.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial