KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Kemenangan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu wanita utama negara Pearly Tan-M.Thinaah pada Terbuka Thailand menjadi suntikan semangat buat mereka dalam menghadapi kejohanan besar yang akan datang.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mengucapkan tahniah, juga berharap semua pemain dapat meneruskan perjuangan dan mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.
Beliau berkata kedua-dua pasangan wakil negara itu mempamerkan aksi mantap serta bertenaga di Stadium Nimibutr, Bangkok dan ia satu pencapaian yang membanggakan seluruh rakyat Malaysia.
"Syabas Malaysia! Kemenangan berganda! Saya merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik atas kejayaan menjuarai Terbuka Thailand," katanya menerusi catatan di Facebook.
Aaron-Wooi Yik muncul juara selepas menewaskan gandingan Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer 20-22, 21-17, 21-12 dalam perlawanan yang berlangsung selama sejam.
Pearly-Thinaah pula menewaskan gandingan Korea Selatan Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo 21-16, 21-17 dalam tempoh 58 minit sekali gus muncul sebagai beregu wanita pertama Malaysia menjuarai kejohanan itu sejak diperkenal pada 1984.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial