AM

Permohonan Pertukaran Lesen Memandu Asing Kepada LMM Dihentikan 19 Mei Ini - KP JPJ

16/05/2025 06:05 PM

PUTRAJAYA, 16 Mei (Bernama) -- Semua permohonan pertukaran lesen memandu negara asing ke Lesen Memandu Malaysia (LMM) dihentikan berkuat kuasa 19 Mei ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Aedy Fadly Ramli.

Menerusi kenyataan hari ini, beliau berkata rakyat asing yang memerlukan LMM dikehendaki menjalani tatacara mendapatkan lesen tersebut seperti prosedur sedia ada sebagaimana yang dilalui oleh rakyat Malaysia.

Beliau berkata langkah berkenaan dibuat JPJ bagi memperketatkan pematuhan dan piawaian keselamatan jalan raya melibatkan warga asing.

“Penambahbaikan ini satu daripada usaha dan komitmen kerajaan MADANI untuk meningkatkan aspek keselamatan jalan raya serta memperkukuhkan tadbir urus dan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, Aedy Fadly berkata terdapat beberapa kategori pemohon tidak terjejas oleh ketetapan baharu yang dilaksanakan itu, antaranya individu di bawah kor diplomatik dan peserta Malaysia My Second Home (MM2H).

Beliau berkata turut tidak terjejas warganegara Malaysia yang memperoleh lesen memandu negara asing sebelum daripada memegang LMM. 

Sementara itu, beliau berkata warga asing yang berada di Malaysia untuk tempoh masa sementara iaitu kurang daripada 12 bulan adalah tertakluk kepada ketetapan tertentu. 

Bagi Negara Pejanji kepada Konvensyen mengenai Lalu Lintas Jalan Raya 1949, Geneva (Konvensyen 1949) dan Konvensyen mengenai Lalu Lintas Jalan Raya 1968, Vienna (Konvensyen 1968), individu daripada negara berkenaan dibenarkan memandu dengan menggunakan Permit Memandu Antarabangsa (IDP) yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Negara Pejanji berkenaan.

Bagi warganegara dari ASEAN, individu berkenaan hanya perlu menggunakan lesen memandu negara asal, selaras dengan ketetapan di bawah Perjanjian Mengiktiraf Lesen Memandu Domestik Dikeluarkan oleh Negara ASEAN 1985.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan