SEREMBAN, 15 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki warga Bangladesh didenda RM100,000 di Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah menyimpan barang kawalan minyak masak seberat 1,241 kilogram (kg) di premis tidak dilesenkan oleh pengawal bekalan, pada April tahun lepas.
Hakim Mohamad Kamil Nizam memerintahkan Das Jhonny Chadra, 38, selaku Orang Kena Saman (OKS) dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut selain membenarkan permohonan lucut hak eksibit kepada pihak pendakwaan serta mengarahkan passport diserahkan kepadanya selepas pembayaran dijelaskan.
Das Jhonny, yang merupakan pengurus di restoran makanan nasi kandar di sini mengaku bersalah menyimpan minyak masak berkenaan di dalam tong 'jerry' di premis tidak dilesenkan oleh pengawal bekalan di hostel pekerja restoran itu di sini pada 3.15 petang, 26 April tahun lepas.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya, didenda maksimum RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Nor Alimah Mohd Sanusi memohon mahkamah mengenakan denda tinggi kerana kesalahan tersebut melibatkan barangan kawalan serta perlu mengambil kira kepentingan awam.
"Minyak masak adalah keperluan asas masyarakat. Ketirisan dan penyelewengan minyak masak ini adalah isu nasional dan memberi kesan kepada ekonomi negara," katanya.
Sementara itu, peguam Ashok Athimulan yang mewakili tertuduh memohon hukuman diringankan atas alasan pengakuan bersalah anak guamnya telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.
“Sejak awal siasatan, OKS memberikan kerjasama penuh kepada pihak penguat kuasa KPDN, mematuhi semua syarat jaminan dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
"OKS juga sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun dan hanya berpendapatan RM2,400 sebulan, selain perlu menanggung ibu bapanya yang uzur di negara asalnya," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial