AM

Kadar Penggunaan Pengangkutan Awam Negara Masih Rendah - Ahmad Zahid

13/05/2025 10:48 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Kadar penggunaan pengangkutan awam di negara ini masih rendah iaitu sekitar 25 peratus, jauh berbeza jika dibandingkan beberapa negara maju, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata negara jiran Singapura mencapai kadar penggunaan pengangkutan awam 67 peratus, Seoul (63 peratus) dan Tokyo (73 peratus). 

"Perubahan ini memerlukan anjakan sikap yang hanya boleh dicapai melalui gabungan antara sistem yang boleh dipercayai dan kempen kesedaran yang menyeluruh.

"Saya sentiasa percaya bahawa sistem pengangkutan awam yang cekap bukan sahaja dapat melancarkan pergerakan harian rakyat, malah turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial serta mobiliti yang inklusif di bandar mahupun di desa," katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid memaklumkan menerima kunjungan hormat daripada Presiden Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Mohd Azharuddin Mat Sah di pejabatnya di Putrajaya.

Beliau berkata Malaysia berdepan realiti kepadatan kenderaan di dalam negara yang menyaksikan sehingga hujung 2024, terdapat 38.7 juta kenderaan berdaftar di Malaysia. 

"Ini melebihi jumlah penduduk negara yang hanya 34.1 juta dan angka ini terus meningkat, didorong oleh jumlah jualan kenderaan baharu (TIV) yang mencecah 816,747 unit, tertinggi dalam sejarah negara.

"Trend ini bukan sahaja membebankan infrastruktur sedia ada, malah meningkatkan risiko keselamatan jalan raya serta menjejaskan kualiti hidup rakyat," katanya.

Sehubung itu, Ahmad Zahid yakin dengan gerak kerja berterusan oleh agensi seperti Prasarana dan kerjasama semua pemegang taruh, mampu membentuk masa depan pengangkutan awam negara yang lebih mesra rakyat, lestari dan efisien.

"Insya-Allah, kita akan keluar daripada belenggu kesesakan dan kebergantungan kepada kenderaan persendirian," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan