JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Sarawak Rampas Barangan Seludup Bernilai Lebih RM6 Juta

13/05/2025 10:09 PM

KUCHING, 13 Mei (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak mencatatkan sembilan kejayaan dalam tiga siri operasi iaitu Op Taring Alpha, Op Taring Bravo dan Op Taring Awas dengan rampasan barangan seludup bernilai lebih RM6 juta baru-baru ini.

Timbalan Komander PGA Briged Sarawak ACP Rosdi Inai berkata rampasan melibatkan pelbagai barangan tanpa cukai dan permit sah termasuk rokok, minuman keras, barangan kawalan, produk sejuk beku serta bahan makanan.

Beliau berkata rampasan terbesar direkodkan di Miri pada 7 Mei apabila pasukan risikan Batalion 12 PGA menyerbu sebuah premis penyimpanan dan merampas 7,400 karton rokok putih, 3,160 karton rokok kretek serta 201 karton minuman keras pelbagai jenama.

“Tiga lelaki, termasuk seorang warga Indonesia berusia antara 26 hingga 29 tahun turut ditahan dan rampasan dianggarkan bernilai RM3.09 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rosdi berkata dalam serbuan di Kuching pada 11 Mei pula, 2,848 karton rokok bernilai RM1.01 juta dirampas dengan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun ditahan.

Beliau berkata kejayaan ketiga menerusi serbuan di daerah Lundu pada 10 Mei yang membawa kepada penahanan tiga lelaki berusia antara 39 hingga 45 tahun bersama 16,200 kilogram (kg) bawang besar tanpa permit, dengan nilai rampasan RM924,000.

Rosdi berkata kejayaan keempat pada 7 Mei dengan PGA menahan seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun di Bau dan merampas 5,000 kg daging sejuk beku tanpa permit sah, termasuk sebuah lori dengan nilai keseluruhan RM385,000.

“Menerusi kejayaan kelima pada 10 Mei di Lundu, PGA telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun bersama sebuah lori yang membawa minyak masak tanpa permit sah sebanyak 4,182 kg dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM228,855.80,” katanya.

Beliau berkata kejayaan keenam menerusi Op Taring Bravo di Debak pada 8 Mei yang menyaksikan PGA menahan seorang lelaki  tempatan berusia 40 tahun bersama 1,260 liter petrol, 750 liter diesel dan 20 tong gas LPG yang disyaki diseleweng dengan rampasan dianggarkan bernilai RM211,545.50.

Kejayaan ketujuh di sempadan Tebedu-Kalimantan pada hari yang sama dengan PGA telah menemui 244 karton rokok putih yang ditinggalkan dalam semak dipercayai untuk penyeludupan melibatkan nilai RM166,408.

Rosdi berkata kejayaan kelapan pada 9 Mei di Lundu dengan PGA telah menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 19 tahun bersama 1,428 kg minyak masak tanpa permit sah menggunakan kenderaan pacuan empat roda dengan rampasan bernilai RM69,853.20.

Dalam kejayaan kesembilan pada 5 Mei, katanya seorang lelaki warga Indonesia berusia 59 tahun telah ditahan di sempadan Lubok Antu ketika cuba menyeludup 100 kg minyak masak dan 20 kg beras menggunakan jalan tidak diwartakan dengan nilai rampasan berjumlah RM7,480.

Beliau berkata kesemua rampasan dan tangkapan telah diserahkan kepada agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Veterinar serta Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan