AM

Melaka Sasar Tambah 10 Lagi NADI Tahun Ini - Exco

13/05/2025 06:40 PM

MELAKA, 13 Mei (Bernama) -- Kerajaan Melaka menyasarkan untuk menambah 10 lagi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) pada tahun ini, kata Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.

Beliau berkata permohonan berkenaan akan dibuat menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bagi memastikan usaha berkenaan dapat direalisasikan untuk memudahkan dan manfaat penduduk setempat.

“Setakat ini, sebanyak 39 NADI telah diwujudkan dalam 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka dengan setiap DUN terdapat antara satu hingga dua pusat berkenaan.

“Sebagai contoh, pada tahun lepas sahaja, kita telah mendapat sebanyak sembilan NADI di bawah tajaan Maxis,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian NADI Kampung Padang, Pokok Mangga di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang yang juga Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin, turut dihadiri Pengarah MCMC Melaka Melaka Syed Isa Al-Sagoff.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata NADI memberi manfaat bukan sahaja sebagai platform penyebaran maklumat, tetapi juga sebagai medium melaksanakan banyak program komuniti pelbagai peringkat umur.

Beliau berkata pelbagai fasiliti antaranya termasuk Internet dan komputer riba disediakan bagi kegunaan penduduk setempat, khususnya pelajar sekolah yang memerlukan kemudahan berkenaan untuk pembelajaran mereka.

“Kita juga merancang untuk melaksanakan program pembelajaran sepanjang hayat seperti kelas mengaji kerana kita perlu menggunakan sepenuhnya semua kemudahan yang disediakan kerajaan di NADI...kalau tidak akan rugi,” katanya.

Sementara itu, Seah berkata lebih banyak program latihan keusahawanan akan dianjurkan di NADI, sebagai platform memperkasakan usahwanan sekali gus meningkatkan ekonomi mereka dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.

Beliau berkata selain itu, NADI juga dilihat sesuai menjadi medium untuk usahawan e-dagang atau dalam talian. bagi melakukan sesi promosi menggunakan kemudahan yang terdapat di pusat berkenaan.

“Kita mahu usahawan yang ada di Melaka ini dapat mengadaptasi kemudahan teknologi untuk beralih ke perniagaan secara dalam talian seperti TikTok. berbanding secara fizikal bagi memudahkan capaian pada pelanggan sekali gus dapat meningkatkan hasil jualan,” katanya.

Sementara itu Seah berkata NADI Kampung Padang, Pokok Mangga adalah yang pertama diwujudkan dalam DUN Kesidang dan sudah pastinya ia akan menjadi pusat tumpuan untuk golongan yang memerlukan bantuan fasiliti yang disediakan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan