AM

Belia Paling Ramai Terlibat Salah Guna Dadah Di Malaysia - KP AADK

10/05/2025 07:50 PM

JERTIH, 10 Mei (Bernama) -- Golongan belia terus menjadi kelompok terbesar dalam kes penyalahgunaan dadah di Malaysia, kata Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh.

Beliau berkata statistik tahun lepas menunjukkan individu berusia lingkungan 19 hingga 39 tahun berada pada kelompok tertinggi iaitu sebanyak 116,245 orang daripada keseluruhan 192,857 penagih yang ditahan. 

“Jumlah itu meningkat daripada 90,520 penagih yang direkodkan pada tahun 2023 membabitkan keseluruhan 145,526 individu.

“Di Terengganu, 56 peratus atau 6,800 penagih adalah golongan itu daripada sejumlah 12,004 penagih yang direkodkan setakat tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Sua Mesra Ketua Pengarah AADK di Dewan Terbuka Gong Kemuntong di sini hari ini.

Ruslin berkata sebahagian daripada mereka terlibat dengan pengambilan dadah sintetik seperti pil yaba atau lebih dikenali sebagai pil kuda.

“Ibu bapa dan pihak sekolah perlu memainkan peranan dalam membendung gejala ini sebelum ia terus merosakkan kehidupan anak-anak kita.

“Saya percaya jika semua pihak memainkan peranan masing-masing, penglibatan belia dalam penyalahgunaan dadah akan dapat dikurangkan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan