Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 5 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong pada Isnin menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merakamkan ucapan tahniah kepadanya berikutan kemenangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam Pilihan Raya Umum 2025 (PRU2025) baru-baru ini.
Beliau turut menerima panggilan telefon daripada Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan Perdana Menteri Bhutan Tshering Tobgay.
“Mereka mengucapkan tahniah atas keputusan pilihan raya, dan kami mengadakan perbincangan yang baik mengenai perkembangan serantau serta kerjasama dua hala.
“Saya berharap dapat bertemu mereka secara peribadi dalam masa terdekat,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Wong, yang juga Setiausaha Agung PAP, mengetuai parti itu meraih kemenangan besar pada pilihan raya 3 Mei, dengan memenangi 87 daripada 97 kerusi Parlimen.
Parti itu bukan sahaja mengekalkan majoriti dua pertiga dalam Parlimen, malah meningkatkan peratusan undi popular kepada 65.57 peratus, berbanding 61.24 peratus pada pilihan raya umum 2020.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan