AM

Mekanisme Ketelusan Harga Ubatan: CAKE Minta Harga Ubat Turut Dikawal

02/05/2025 07:00 PM

ALOR SETAR, 2 Mei (Bernama) -- Pelaksanaan Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU) sangat disambut baik pengguna, namun ia bukanlah noktah kepada usaha memastikan pesakit menerima rawatan dan ubat pada harga yang munasabah, kata Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohamad Yusrizal Yusoff.

Beliau berkata dengan pengenalan mekanisme itu, kerajaan hanya mewajibkan setiap klinik kesihatan, hospital dan farmasi memaparkan harga sahaja, namun harga ubat itu masih tidak terkawal.

Mohamad Yusrizal berkata kerajaan perlu mengawal harga ubat dan kos rawatan, bagi membolehkan golongan kurang berkemampuan turut mampu membeli ubat-ubatan dan mendapatkan rawatan pada harga yang munasabah dan berpatutan.

“Kos rawatan kini mahal dan ramai pengguna dalam kalangan golongan miskin dan berpendapatan rendah tidak mampu menerima rawatan dan mengambil ubat, sehingga menyebabkan penyakit mereka menjadi serius serta boleh mendatangkan maut.

“... yang penting bagi pengguna ialah kawalan harga yang tidak terlalu melampau terhadap harga ubat dan kos rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Yusrizal berkata ubat-ubatan satu keperluan bagi pengguna dan ada pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harganya.

“Pengguna golongan berpendapatan rendah tidak mampu beli ubat... ada yang terpaksa berhutang untuk mendapatkan ubat. Jadi, kita berharap kawalan harga yang tidak terlalu melampau terhadap harga ubat dan kos rawatan dapat dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata CAKE juga berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan beberapa cadangan untuk membantu menyelesaikan isu itu, antaranya kerajaan perlu mengawal harga ubat yang dijual di hospital swasta, klinik swasta dan farmasi.

“Kerajaan juga perlu mengawal kos rawatan dan konsultasi rawatan supaya pihak swasta tidak mengenakan caj melampau. Hospital kerajaan juga perlu memberi semua jenis ubat secara percuma kepada pengguna golongan miskin dan berpendapatan rendah bagi mengurangkan bebanan mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan