AM

MERCY Malaysia Hantar Pasukan Perubatan Ke Myanmar

01/05/2025 08:18 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- MERCY Malaysia menghantar pasukan perubatan ke bandar Kyaukse di wilayah Mandalay, Myanmar bagi memberi bantuan kepada mangsa gempa bumi yang melanda negara itu pada 28 Mac lepas.

MERCY Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia merupakan kali pertama pasukan perubatan bergerak dilaksanakan oleh pihaknya di Myanmar selepas bantuan awal digerakkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Misi bantuan berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama rapat Jabatan Kesihatan Awam Wilayah Mandalay, Jabatan Sains Perubatan serta di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Myanmar.

“Pasukan itu akan beroperasi di pekarangan Hospital Kyaukse, memberikan perkhidmatan kepada lebih 240,000 penduduk dan menyediakan perkhidmatan pesakit luar serta kecemasan sepanjang tempoh dua minggu,” menurut kenyataan itu.

Menurut MERCY Malaysia, penugasan itu penting bagi memastikan sokongan perubatan berterusan di kawasan terjejas teruk terutamanya dengan ketibaan musim monsun yang dijangka menyukarkan lagi usaha bantuan.

Presiden MERCY Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus dalam kenyataan sama berkata misi bantuan itu bukan sahaja untuk mewujudkan pusat perubatan sementara tetapi juga memberikan rawatan yang dapat menyelamatkan nyawa masyarakat terjejas.

“Kami menyedari banyak mangsa kehilangan akses kepada penjagaan kesihatan asas. Pasukan bergerak berada di lokasi untuk mengisi kekosongan itu dan membantu menstabilkan sistem kesihatan yang dalam fasa pemulihan,” katanya.

MERCY Malaysia telah beroperasi di Myanmar menerusi pelbagai program kemanusiaan berfokuskan kesihatan termasuk klinik bergerak, program kesihatan awam, sokongan kesihatan mental dan psikososial, pengagihan kit kebersihan serta pemulihan infrastruktur kesihatan yang rosak.

“Walaupun berdepan persekitaran politik dan kemanusiaan yang kompleks, MERCY Malaysia tetap berpegang kepada prinsip neutral, bebas dan tidak berpihak. Kerjasama dengan pihak berkuasa di semua peringkat termasuk kesatuan, wilayah, perbandaran dan kampung adalah penting untuk memastikan akses kemanusiaan yang berkesan dan selamat.

“MERCY Malaysia kekal komited untuk menyokong rakyat Myanmar melalui intervensi berdasarkan keperluan, sambil mengekalkan prinsip yang mengutamakan maruah dan memperkukuh daya tahan masyarakat,” katanya.

Gempa bumi bermagnitud 7.7 itu telah meragut lebih 3,700 nyawa dengan hampir 5,100 individu cedera, serta mengakibatkan gangguan terhadap akses rawatan perubatan untuk ribuan mangsa yang terselamat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan