KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Pemergian wartawan dan penerbit terkenal Md Nasir Ahmad atau lebih dikenali sebagai Nas Ahmad, meninggalkan kesan yang mendalam kepada keluarga serta rakan seperjuangan yang pernah bersamanya dalam dunia kewartawanan hiburan tanah air.
Dalam suasana pilu di majlis pengebumian bekas wartawan yang popular dengan slogan “Kita Terjah” itu, ahli keluarga dan rakan sekerja berkongsi detik-detik terakhir bersama Allahyarham yang disifatkan sebagai seorang ayah serta rakan yang tabah dan bersemangat.
Anak sulung Nas Ahmad, Muhammad Nasrul, 38, berkata Allahyarham ada membuat permintaan untuk keluar makan bersama walaupun keadaannya pada ketika itu sangat lemah.
“Kami tunaikan juga permintaannya dan tak sangka itulah kali terakhir kami makan bersama," katanya kepada pemberita selepas pengebumian bapanya di Tanah Perkuburan Islam Sekyen 9, Kota Damansara hari ini.
Muhammad Nasrul berkata bapanya baharu sahaja dibenarkan pulang dari hospital minggu lepas dan kesihatannya kelihatan baik, namun mula batuk sejak dua hari lepas.
"Pada hari raya baru-baru ini ayah telah dimasukkan ke hospital selama tiga minggu, pada masa itu sebelah mata ayah dah tak nampak... memang ada perancangan untuk buat rawatan selepas raya tapi tak sempat," katanya.
Sementara itu, Penerbit Program Media Prima Jamil Hassan yang mempunyai hubungan akrab dengan Nas Ahmad menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan satu permata dalam dunia media.
"Beliau adalah penerbit dan wartawan yang sangat berdedikasi dan komited, kalau nak cakap pasal Nas Ahmad dan Melodi ini ibarat ‘darah dan daging’.
"Kalau kita sebut 'Nas Terjah', orang tahu siapa dia, dia tak pernah gagal bawa watak dan peranan tu dengan penuh semangat dan profesionalisme," katanya.
Bekas wartawan, Saiful Azmi Jamsari, 46, pula berkata tanpa bimbingan dan sokongan Allahyarham, mungkin beliau tidak akan berada dalam industri media ketika ini.
"Saya bukan lulusan dalam bidang kewartawanan dan penyiaran tetapi Abang Nas bimbing saya dari kosong, dia banyak ajar saya tentang tugas-tugas dan peranan dalam bidang ni. Pemergiannya satu kehilangan besar dalam dunia kewartawanan," katanya.
Nas Ahmad, 63, menghembuskan nafas terakhir pada 9.49 pagi tadi di Hospital Sungai Buloh selepas mengalami masalah pernafasan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial