AM

4,385 Kes HFMD Direkod Di Sabah

30/04/2025 08:57 PM

KOTA KINABALU, 30 April (Bernama) -- Sebanyak 4,385 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan dari 1 Jan hingga 19 April lepas, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Dr Maria Suleiman.

Beliau dalam kenyataan di sini malam ini berkata 83 peratus daripada jumlah kes itu melibatkan kanak-kanak berumur bawah tujuh tahun.

“Lima daerah mencatatkan kumulatif kes tertinggi iaitu Kota Kinabalu dengan 705 kes, Papar (578 kes), Penampang (450 kes), Keningau (431 kes) dan Tawau (262 kes).

“Kesemua kes yang dilaporkan adalah ringan dan hanya memerlukan rawatan pesakit luar tanpa melibatkan kes di unit rawatan rapi (ICU) atau kematian,” katanya.

Dr Maria berkata majoriti jangkitan HFMD berlaku di rumah atau pusat pendidikan awal kanak-kanak seperti taska, tadika dan prasekolah, dengan 10 sekolah dilaporkan sebagai kluster.

Beliau berkata lima daripada sekolah itu diarah tutup sepenuhnya, manakala selebihnya melibatkan penutupan sebahagian kelas tertentu bagi membolehkan siasatan lanjut dan kerja-kerja pembersihan serta disinfeksi dijalankan.

Sementara itu, orang ramai disaran untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan termasuk memastikan kebersihan diri dan persekitaran serta mengelakkan kanak-kanak yang bergejala daripada menghadiri pusat jagaan atau tempat awam bagi mencegah penularan jangkitan. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan