Seorang lelaki Cina pertengahan umur yang berbaju kemeja biru muda dan berseluar jeans hanya tunduk diam di dalam kandang tertuduh ketika peguam belanya menyoal saksi.
Namun sesekali dia menoleh ke belakang, wajahnya menunjukkan reaksi tidak senang ke arah hadirin - kebanyakannya ialah pengamal media dan wakil persatuan pemuliharaan hidupan liar - yang berada di galeri awam Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur itu bagi mengikuti perbicaraan kes berkenaan.
Tertuduh dihadapkan ke mahkamah itu gara-gara hiasan dinding di sebuah kondominium mewah yang didakwa miliknya. Pada satu petang di bulan Ogos 2022, sekumpulan pegawai penguat kuasa daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) serta Polis Diraja Malaysia menjumpai serta menyita satu belulang lengkap harimau yang dipamerkan di dalam bingkai kaca, tergantung di dinding ruang tamu - tidak ubah seperti sebuah trofi, cuma dalam bentuk haiwan yang hampir pupus.
Sepanjang dua hari perbicaraan pada 14 dan 15 April 2025 itu, belulang yang lengkap dengan kepala, tidak lagi gah dipamerkan dalam bingkai kaca, sebaliknya teronyok di dalam bekas plastik jernih di atas meja, berhampiran kandang tertuduh.
Bagi tertuduh berusia 49 tahun itu, kepala serta kulit harimau berkenaan mungkin sekadar satu hiasan eksotik, namun buat aktivis, belulang berkenaan ialah isyarat kepada satu krisis global.
Di Malaysia, perbuatan menyimpan mana-mana bahagian atau apa-apa terbitan daripada hidupan liar yang dilindungi seperti harimau atau nama saintifiknya Panthera tigris tanpa permit sah, ialah satu kesalahan di bawah Seksyen 68 (1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. Jika sabit kesalahan, boleh didenda RM100,000 hingga RM500,000 dan penjara tidak melebihi tempoh lima tahun.
Bagaimana belulang harimau itu tiba di kondominium lelaki berkenaan yang terletak di Jalan Tun Razak di sini, tidak disebut pada hari pertama perbicaraan. Sebaliknya mahkamah mendengar perincian serbuan yang dilakukan pada 1 Ogos 2022 berkenaan. Susulan aduan awam, empat pegawai Perhilitan serta lima anggota polis, memasuki premis itu pada 12.45 tengah hari dengan diiringi oleh tertuduh.
Semasa pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan, mahkamah dimaklumkan bahawa anggota pasukan serbuan dalam operasi dikenali sebagai Ops Bersepadu Khazanah itu telah menonton video di platform TikTok yang memaparkan belulang harimau tersebut sebelum serbuan dilakukan. Namun video itu tidak dikemukakan pada hari berkenaan. Mahkamah turut mendengar bukti DNA yang mengesahkan bahawa belulang tersebut berasal daripada seekor harimau sebenar, dan bukannya palsu seperti yang dicadangkan oleh pihak pembelaan.
Sepanjang dua hari pertama perbicaraan, tiada bukti yang menunjukkan tertuduh ahli kumpulan pemburu haram ataupun sindiket penyeludupan. Namun demikian, jika didapati bersalah atas kesalahan menyimpan “trofi haram” tersebut, tertuduh, dari segi undang-undang, akan menjadi sebahagian daripada rangkaian perdagangan hidupan liar haram, yang disifatkan oleh Interpol sebagai antara sektor jenayah paling besar dan menguntungkan.
DIPACU PERMINTAAN
Harimau Malaya atau Panthera tigris jacksoni yang hanya ditemukan di Semenanjung Malaysia, merupakan simbol negara ini dan menjadi sebahagian daripada lambang rasmi kerajaan Malaysia, tertera pada jata negara.
Malangnya, spesies itu kini berisiko pupus sepenuhnya dan disenaraikan sebagai “Sangat Terancam” dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), manakala spesies harimau secara keseluruhannya diklasifikasikan sebagai “Terancam”.
Walaupun terdapat larangan antarabangsa dan penguatkuasaan yang semakin ketat di peringkat antarabangsa serta negara sejak dua dekad yang lalu, bahagian tubuh harimau dan hidupan liar lain masih didagangkan menerusi rantaian bekalan gelap - daripada pemburu haram kepada orang tengah dan akhirnya sampai kepada pembeli. Tumpuan lazimnya ialah pada penyeludup dan orang tengah, selain hukuman yang semakin berat, kata aktivis pemuliharaan dan pakar undang-undang, pemacu utama perdagangan haram hidupan liar ialah permintaan - kebanyakannya datang daripada orang kaya yang menjadikan spesies terancam sebagai simbol status ataupun ubat eksotik.
"Penjenayah utama ialah orang yang membuat permintaan. Kalau tiada permintaan, maka tiadalah penawaran," kata Dr Haezreena Begum Abdul Hamid, ahli kriminologi dan pensyarah kanan di Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya.
Beliau berkata aspek ini juga “menjarakkan” pembeli daripada penglibatan secara langsung, sekali gus “membebaskan” mereka daripada jenayah kerana bukan mereka yang memburu dan membunuh haiwan tersebut.
Pada 2023, Interpol menganggarkan perdagangan haram hidupan liar bernilai US$20 bilion. Pakar pemuliharaan memberitahu Bernama, satu daripada faktor yang menyumbang kepada pertumbuhan perdagangan itu ialah kerana kegiatan penyeludupan hidupan liar dan bahagian tubuh haiwan-haiwan terbabit begitu mudah dilakukan.
Dilaporkan, pada masa ini, hanya terdapat sekitar 150 ekor harimau Malaya di habitat semula jadinya di negara ini, disebabkan oleh kehilangan habitat, kekurangan haiwan mangsa, konflik dengan manusia serta pemburuan haram. Jika sesetengah bahagian tubuh harimau diseludup bagi tujuan perubatan tradisional atau ritual kerohanian, belulang serta taksidermi pula lazimnya dibeli bagi dipamer sebagai lambang kuasa, kekayaan atau pengaruh.
“Trofi diberi kepada juara, kan? Samalah dalam hal ini. Dari segi sejarah, pemburu berasa bangga dapat membunuh haiwan yang sangat berbahaya ini. (Akan tetapi sekarang), kita tidak boleh lagi berbuat demikian kerana jumlah harimau yang sudah tidak seberapa,” kata Presiden Persatuan Ekologi Malaysia Prof Dr Ahmad Ismail.
IUCN melaporkan lebih daripada 150,300 spesies kini terancam.
HUKUMAN KERAS
Di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora (CITES), negara peserta termasuk Malaysia telah menyatakan persetujuan untuk melarang perdagangan berkaitan harimau atau produk terbitan harimau.
Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 menyenaraikan harimau dalam Jadual Kedua sebagai “Hidupan Liar Dilindungi Sepenuhnya”. Memiliki apa-apa bahagian harimau, hidup atau mati, tanpa permit khas merupakan satu kesalahan serius. Bukan setakat itu, menjual, membeli atau memiliki bahagian tiruan harimau juga satu pelanggaran undang-undang.
Namun usaha penguatkuasaan amat mencabar kerana pasaran telah berubah, demikian menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Dadah dan Jenayah (UNDOC). Jika sebelum ini perdagangan haram hidupan liar melibatkan pemburu haram dan pembeli tempatan secara kecil-kecilan, kini hampir keseluruhan aktiviti itu diambil alih oleh sindiket jenayah terancang.
Siasatan oleh pelbagai agensi penguat kuasa undang-undang antarabangsa, kumpulan pemuliharaan antarabangsa dan media, menunjukkan bahagian harimau diseludup menerusi laluan yang semakin sofistikated.
Malaysia merupakan negara transit dan juga sumber bagi perdagangan haram. Terkini pada 20 April lalu, pegawai Perhilitan dengan kerjasama polis bantuan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, menahan dan menangkap seorang lelaki dari India yang cuba menyeludup keluar seekor ungka bertangan hitam (Hylobates agilis) dan enam ekor kura-kura telinga merah (Trachemys scripta elegans).
Kemunculan media sosial menyaksikan semakin banyak perdagangan hidupan liar dilakukan secara dalam talian, yang boleh menambah sulit isu kerana ketiadaan undang-undang yang secara khusus melarang perdagangan hidupan liar dan bahagiannya dalam talian. Pada 2022, Malaysia menutup lompang undang-undang ini menerusi pindaan terhadap Akta Pemuliharaan Hidupan Liar dengan menambah Seksyen (88b) yang menjadikan promosi dalam talian, menjual atau membeli hidupan liar atau bahagian tubuhnya tanpa permit, sebagai satu jenayah.
Bagaimanapun setakat 23 April 2025, pindaan ini belum berkuat kuasa.
Menerusi platform dalam talian, penjual dan pembeli tidak lagi perlu bersemuka bagi menyerahkan barang terlarang itu.
Pada 2022, TRAFFIC, sebuah jaringan pemantauan perdagangan hidupan liar, melaporkan yang ia menemukan ratusan penyenaraian bahagian haiwan terancam di pelbagai platform media sosial di Asia Tenggara, termasuk kulit, gigi dan kuku harimau dengan 2,205 kes rampasan pelbagai hidupan liar dan bahagian tubuh dilaporkan di 13 negara wilayah harimau termasuk Malaysia dan India.
Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, dipetik dalam satu laporan berita pada 2023 sebagai berkata bahawa perdagangan haram hidupan liar di media sosial kian meningkat dengan TikTok semakin popular.
“Peniaga-peniaga ini akan memadam akaun mereka secara tiba-tiba, namun muncul semula selepas dua ke tiga bulan. Kemudian mereka akan tukar nama akaun berulang kali bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya.
PERLU TINDAKAN SEMUA PIHAK
Namun begitu, pakar berkata media sosial juga boleh membantu menghentikan perdagangan haram itu dengan cara membawa perhatian pihak berkuasa terhadap kegiatan berkenaan. Sebuah video di TikTok menunjukkan orang ramai mencabut misai harimau yang mati akibat dilanggar lori di Perak pada November 2023, telah membangkitkan kemarahan netizen.
Ahmad Ismail yang juga bekas Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), memberitahu Bernama bahawa pengguna media sosial perlu lebih peka akan isu-isu hidupan liar. Selain itu katanya, lebih banyak penyelidikan tentang populasi harimau perlu dijalankan.
“Jika orang ramai prihatin, apabila melihat video seperti ini mereka boleh terus maklumkan kepada Perhilitan. Ini antara cara (yang boleh dilakukan)… sebab itulah pendidikan sangat penting. Kadang-kadang orang tak tahu bahawa mereka patut melaporkannya,” kata beliau.
Undang-undang sedia ada terhadap kesalahan berkaitan hidupan liar sebenarnya sudah cukup tegas, namun pelaksanaannya membawa cerita yang berbeza. Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, hakim menjatuhkan hukuman yang lebih berat terhadap penjenayah hidupan liar, namun pada masa sama ada yang mendapat peringanan hukuman selepas membuat rayuan.
Sebagai contoh, pada Ogos 2023, Mahkamah Tinggi Temerloh mengurangkan hukuman penjara terhadap Burhanuddin Kamil Adenan, 32 tahun, kepada setahun bagi setiap pertuduhan. Namun hukuman itu berjalan serentak bagi ketiga-tiga pertuduhan yang disabitkan ke atasnya, bermakna dia hanya perlu menjalani hukuman penjara selama setahun. Selain itu, dia juga didenda sebanyak RM350,00 dan jika gagal dibayar, dia dikenakan hukuman penjara selama enam bulan lagi bagi setiap pertuduhan.
Sebelum itu, Mahkamah Sesyen Temerloh menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan selama 10 tahun dan denda RM1 juta terhadapnya kerana memiliki bangkai anak harimau dan dua belulang harimau secara haram pada Disember 2022.
Haezreena memberitahu Bernama bahawa beliau tidak bersetuju dengan sikap memandang ringan terhadap jenayah membabitkan hidupan liar berbanding yang melibatkan mangsa manusia.
Tegasnya pemikiran masyarakat perlu diubah dalam usaha melindungi haiwan.
“Orang ramai masih melihat haiwan sebagai sesuatu yang kita ada hak untuk kuasai, seolah-olah kita satu-satunya penghuni di muka bumi ini, sedangkan kita berkongsi ruang dengan mereka. Ramai yang masih tidak faham bahawa haiwan ini makhluk tanpa suara, makhluk yang lemah,” katanya, sambil menambah bahawa tahap kesedaran semakin meningkat dalam kalangan generasi seterusnya.
Selepas dua hari, perbicaraan melibatkan belulang harimau itu ditangguhkan ke tarikh lain. Tertuduh pula dibebaskan dengan ikat jamin, setidak-tidaknya dia bebas buat masa ini.
Namun, bagi harimau, nasib mereka tidak sebaik itu kerana masa untuk mereka kekal mendiami muka bumi semakin suntuk.Tanpa penglibatan semua pihak, termasuk orang awam, dalam menghentikan perdagangan haram hidupan liar, trofi seperti kulit harimau mungkin menjadi satu-satunya tinggalan untuk mengingatkan kita bahawa haiwan kebanggaan ini pernah mendiami hutan Malaysia.
“Kita mesti selamatkan harimau kita. Kalau tidak, kita hilang maruah. Kita tak boleh letak harimau sebagai lambang negara jika kita sendiri sudah kepupusan harimau,” kata Ahmad Ismail.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial