GEORGE TOWN, 18 April (Bernama) -- Pulau Pinang merekodkan 579 kes baharu penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) pada Minggu Epidemiologi ke-15 iaitu antara 6 hingga 12 April lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata ia meningkat sebanyak 353 kes atau 156.2 peratus berbanding minggu sebelumnya dengan empat kluster baharu turut dilaporkan dalam tempoh berkenaan.
“Peningkatan ini dipercayai berlaku susulan cuti perayaan Aidilfitri yang lepas, namun begitu semua kes yang dilaporkan menunjukkan gejala ringan dengan diberikan rawatan pesakit luar dan tiada kes yang mengalami komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata secara keseluruhan Pulau Pinang merekodkan 4,585 kes kumulatif HFMD dari Januari sehingga 12 April lepas, peningkatan ketara berbanding hanya 879 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
Daerah Seberang Perai Tengah mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 1,362 kes, diikuti Seberang Perai Selatan (884 kes), Timur Laut (852 kes), Barat Daya (845 kes) dan 642 kes di Seberang Perai Utara.
Gooi berkata satu mesyuarat khas diadakan pagi ini bersama Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (PEMUDAH), Persatuan Pengusaha Institusi Pendidikan Pulau Pinang dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bagi membincangkan situasi semasa penularan HFMD di negeri tersebut.
“Dalam sesi tersebut para pengusaha telah menyuarakan beberapa cabaran yang dihadapi dalam menguruskan kes HFMD dan sebagai langkah susulan, JKNPP akan menjalankan analisis terhadap keberkesanan operasi sedia ada,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial