AM

Siar Gambar Jalur Gemilang Tanpa Bulan Sabit Boleh Cetus Sensitiviti Rakyat - Agong

16/04/2025 05:26 PM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan di muka hadapan sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima.

Menerusi catatan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka dan menyemak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum dicetak.

Sultan Ibrahim menegaskan bendera adalah lambang kedaulatan dan identiti sesebuah negara.

“Bendera bukan sekadar kain bercorak yang berwarna-warni tetapi mewakili perjuangan, sejarah, erti kemerdekaan serta semangat rakyat jelata.

“Kita sebagai rakyat mengibarkan bendera dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa,” titah Seri Paduka Baginda.

Semalam, sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap dan tindakan itu mendapat reaksi pelbagai pihak. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan