JENAYAH & MAHKAMAH

Pelajar MRSM Buli Rakan Digantung - Asyraf Wajdi

07/04/2025 07:02 PM

TAPAH, 7 April (Bernama) -- Pihak pengurusan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan mengambil tindakan dengan menggantung pelajar yang terlibat dalam video kes seorang pelajar dibuli rakan-rakannya yang tular hari ini.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tindakan menggantung pelajar yang bersalah atau tidak bersalah itu diambil supaya ia tidak mengganggu proses siasatan yang akan dijalankan oleh Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM). 

"Saya minta untuk laporan daripada siasatan ini dikemukakan kepada pihak MARA pusat untuk diambil tindakan sewajarnya.

"Ya, sebab kita tidak mahu mengganggu sebarang siasatan lepas pada itu, kalau benar-benar berlaku kita tidak akan kompromi sehingga ke peringkat menyingkirkan mereka daripada maktab," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN Pilihan Raya Kecil N.48 Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning di Dewan Serbaguna Kampung Tersusun Haji Tahir, Temoh, Tapah hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata pihaknya tidak boleh mengambil pendekatan menghukum sebelum membuat sebarang siasatan dan beliau yakin pihak pengurusan maktab akan mengambil serius berhubung perkara itu.

Beliau berkata pihaknya amat tegas dalam isu buli dan sudah beberapa kali mengingatkan warga MRSM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk budaya buli dalam apa juga bentuk sama ada fizikal mahupun mental. 

"Ia tidak harus berlaku di dalam sebuah maktab seperti MRSM yang matlamatnya untuk melahirkan generasi pemimpin masa depan yang bersahsiah tinggi, adab budi pekerti yang luhur dan bukan hanya cemerlang dari segi akademik. 

"Tidak guna cemerlang akademik tetapi adab dan akhlaknya tidak menggambarkan keperibadian yang sebenar, sebab itulah dalam hal ini saya sering mengatakan kamu sentuh kamu pergi (you touch you go)," katanya.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi satu minit 32 saat memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap di atas katil, selain turut dilihat disebat dengan tali pinggang pada bahagian punggung.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan