AM

Deepavali: 2.62 Juta Kenderaan Dijangka Guna Lebuh Raya Mulai Esok

28/10/2024 12:26 PM

PUTRAJAYA, 28 Okt (Bernama) -- Aliran trafik dijangka meningkat mulai esok dengan jangkaan 2.62 juta kenderaan sehari akan menggunakan lebuh raya utama menuju pantai timur, utara dan selatan Khamis ini, susulan sambutan Deepavali.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya (LLM) Datuk Sazali Harun berkata 2.13 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya di bawah kumpulan PLUS, 198,000 (Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak), 78,220 (Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1), 59,220 (Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2) dan 153,700 menggunakan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).

“Bagi mendepani peningkatan trafik, LLM telah mengarahkan semua syarikat konsesi lebuh raya untuk melakukan persediaan rapi agar perjalanan pengguna lebuh raya selamat dan lancar sepanjang tempoh ini,” katanya dalam kenyataan.

Kerajaan hari ini mengumumkan pemberian tol percuma di semua lebuh raya selama dua hari bermula 12.01 tengah malam esok hingga 11.59 malam, 30 Okt (Rabu) sempena Deepavali.

Untuk kemudahan pengguna lebuh raya, Sazali berkata Pusat Pengurusan Trafik LLM akan beroperasi 7 pagi hingga 10 malam dan pengguna boleh mendapatkan status semasa trafik lebuh raya atau sebarang insiden di lebuh raya menerusi media sosial rasmi LLM dan syarikat konsesi atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 atau paparan kamera liter tertutup (CCTV) di https://www.llm.gov.my.

Sazali berkata pihaknya turut mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya agar tidak melaksanakan sebarang penutupan lorong kecuali bagi kes dan kerja kecemasan bermula Khamis ini hingga Isnin, memastikan pengoperasian lebuh raya serta kawasan rehat dan rawat (R&R) dalam keadaan baik dan menyediakan kemudahan tambahan seperti tempat letak kereta serta tandas mudah alih.

Beliau turut menasihati pengguna lebuh raya untuk merancang perjalanan dengan merujuk kepada aplikasi MyPLUS-TTA, memastikan baki kad Touch 'n Go dan e-dompet mencukupi serta mengingatkan penunggang motosikal bahawa lorong kecemasan bukan laluan eksklusif untuk mereka tetapi turut digunakan oleh kenderaan yang berhenti jika berlaku kerosakan atau kecemasan lain.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan