SUKAN

Sokongan Keluarga, Tidur Mencukupi Rahsia Emas Elvis Priestly

19/08/2024 08:05 PM

KUCHING, 19 Ogos (Bernama) -- Sokongan keluarga dan rutin tidur mencukupi antara faktor mendorong penerjun Sarawak Elvis Priestly Clement merangkul pingat emas acara 3 meter (m) papan anjal lelaki iaitu pingat akuatik pertama Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Atlet berusia 18 tahun yang kali pertama beraksi di hadapan ahli keluarganya mengungguli acara dengan mengumpul 415.15 mata selepas menyempurnakan enam terjunan di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini.

Elvis Priestly mengetepikan rakan sepelatih  dalam pasukan kebangsaan Yong Rui Jie dan Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim dari Wilayah Persekutuan yang masing-masing memenangi perak dan gangsa dengan 388.80 dan 377.65 mata.

Elvis Priestly ketika ditemui pemberita berkata kebiasaannya jika menyertai kejohanan, beliau akan mendapatkan tidur yang mencukupi bagi memastikan beliau dapat fokus dan sentiasa tenang.

“Saya rasa berpuas hati dapat mengatasi rakan-rakan kerana kita sentiasa bersaing ketika latihan. Saya sangat bersemangat dengan kehadiran keluarga kerana jarang datang tengok, terutamanya jika pertandingan di luar.

“Sasaran utama bagi tahun ini adalah untuk meraih kedudukan podium pada Kejohanan Dunia Remaja (di Rio de Janeiro bermula 24 Nov hingga 1 Dis) bagi tahun ini. Matlamat besar adalah berjaya di pentas Olimpik nanti,” katanya.

Elvis Priestly juga berhasrat untuk memenangi emas ketiganya di SUKMA apabila sekali lagi turun dalam acara 10m platform seirama lelaki bersama Enrique Maccartney Harold esok, manakala acara individu pula berlangsung pada Khamis.

Sementara itu, Sarawak menyapu kesemua dua pingat emas ditawarkan pada hari pertama akuatik membuka tirai apabila Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj-Nurul Farisya Alia Affendi mengungguli 10m platform seirama wanita.

Gandingan tuan rumah itu mengumpul 262.08 mata, menewaskan Terengganu diwakili Ilyssa Ixora Imran-Uzlifatil Jannah Ashraf (197.10 mata) dan Cecelia Olivia Christopher Leoneil-Siti Nurul Jannah Malik  (189.75 mata) dari Perak yang masing-masing meraih perak dan gangsa. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan