AM

LEBIH RM8 JUTA UNTUK LAKSANA PROJEK TAMU DESA DI SARAWAK - KUSKOP

26/06/2024 12:34 AM

KUCHING, 25 Jun (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyediakan lebih RM8 juta untuk melaksanakan Projek Tamu Desa di Sarawak, bermula tahun ini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata daripada jumlah itu sebanyak RM1.995 juta diperuntukkan bagi fasa pertama dan RM7 juta untuk fasa kedua, dengan 13 tapak Tamu Desa dikenal pasti di Sarawak untuk dinaik taraf bagi fasa pertama.

“Projek Tamu Desa ini bertujuan menyediakan atau menaik taraf ruang niaga atau pusat niaga penjaja dengan infrastruktur yang lebih kondusif serta memberi akses pemasaran produk jualan yang lebih berkesan,” katanya di sini, pada Selasa.

Dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja Dan Peniaga Kecil Peringkat Daerah (MPUKPPD) Sarawak, beliau berkata projek itu akan meningkatkan lagi peluang berniaga serta pekerjaan baharu kepada penduduk setempat.

Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan sekali sahaja sebanyak RM10 juta kepada KUSKOP untuk pelaksanaan projek Tamu Desa, tahun ini di Sabah dan Sarawak.

“Bagi fasa pertama, kementerian memperuntukkan sebanyak RM1.995 juta kepada Sarawak dan RM7 juta bagi Sabah, manakala untuk fasa kedua pula Sarawak akan menerima peruntukan yang lebih besar daripada Sabah iaitu RM7 juta,” katanya.

Selain projek Tamu Desa, Ewon berkata mesyuarat itu turut membincangkan pelaksanaan MPUKPPD yang telah dilaksanakan secara rintis di daerah negeri Sabah pada tahun lepas dan KUSKOP berhasrat untuk memperluaskan pelaksanaannya di negeri lain tahun ini.

“Tahun ini, KUSKOP merancang pelaksanaan MPUKPPD di Sarawak dan beberapa negeri di Semenanjung.

“KUSKOP yakin MPUKPPD dapat membantu usahawan, koperasi dan peniaga kecil untuk membangunkan ekonomi setempat melalui produk atau perkhidmatan yang disediakan oleh KUSKOP dan agensinya serta agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang berkaitan.

“Seterusnya merapatkan jurang dan meningkatkan kerjasama di antara usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil, pemimpin setempat serta jabatan dan agensi di peringkat daerah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lamat mengalu-alukan usaha dan komitmen kerajaan Persekutuan melalui KUSKOP untuk membantu usahawan Sarawak terutama dari segi penyediaan infrastruktur yang lebih kondusif.

“Kami menghargai penyediaan peruntukan untuk projek Tamu Desa di Sarawak dan akan berusaha memastikan pelaksanaan berjalan lancar untuk manfaat golongan sasaran,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan