POLITIK

PRK SG BAKAP : PILIH CALON BERPENGETAHUAN, BERWATAK - FADHLINA

26/06/2024 12:10 AM

NIBONG TEBAL, 25 Jun (Bernama) -- Pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, diseru memilih calon yang berpengetahuan dan berwatak agar dapat menyumbang kepada kestabilan pembangunan di kawasan itu, kata Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata masyarakat memerlukan pemimpin berkualiti yang dapat memimpin DUN Sungai Bakap ke arah lebih baik dari aspek pembangunan infrastruktur, ekonomi, sosial, agama, perpaduan dan pendidikan.

“Kepada semua pengundi Sungai Bakap, calon Perpaduan ini (Dr Joohari Ariffin) bukan calang-calang. Dia calon yang berotak dan berwatak, wibawanya, santunnya dan juga hemah yang tinggi budi bahasanya.

“Saya sebagai Menteri Pendidikan risau, kalau calon ini terus dipertikaikan kerana kita sedang membina generasi yang benar-benar mengangkat isu pendidikan ini sebagai isu yang sangat penting,” katanya ketika berucap pada ceramah Perpaduan di Taman Jawi Indah di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Dr Mohammad Abdul Hamid merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung dan calon Pakatan Harapan (PH) bagi PRK DUN Sungai Bakap Dr Joohari Ariffin.

Fadhlina berkata tidak ada orang yang lebih memahami pendidikan melainkan Joohari, yang merupakan bekas guru dan anak jati Sungai Bakap yang cukup diyakini bahawa beliau boleh memberikan perkhidmatan yang terbaik, untuk anak-anak Sungai Bakap.

Terdahulu, Fadhlina ketika ditemui selepas melawat Pusat Media PRK DUN Sungai Bakap di Kompleks Rakan Muda, di sini menyifatkan Joohari yang juga bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara antara calon terbaik yang pernah diketengahkan Kerajaan Perpaduan dan diyakini mempunyai peluang cerah untuk merampas kembali kerusi DUN itu daripada Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan kualiti kewibawaan Joohari dan apa yang beliau tawarkan kepada rakyat, khususnya dari segi infrastruktur dan penyelesaian isu-isu setempat.

Mengulas gerak kerja kempen pula, Fadhlina berkata beliau sangat berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan jentera gabungan Kerajaan Perpaduan, iaitu PH dan Barisan Nasional (BN), yang bersungguh-sungguh berkempen demi memenangkan calon PH.

Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili PN dalam pertembungan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap, 6 Julai, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei, akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan