AM

PROGRAM KARISMA PEMIKIR MADANI AKAN DIPERLUAS KE IPT LAIN - ZAMBRY

25/06/2024 11:34 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Program Karisma Pemikir MADANI Kepimpinan Tertinggi Pentadbiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seluruh Malaysia akan diperluas ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) lain selepas ini, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Perkara itu dimaklumkan oleh Zambry dalam catatan menerusi Facebook beliau malam ini.

Beliau berkata program berkenaan bertujuan merapatkan kembali saf kepimpinan IPT, pensyarah dan pemimpin muda untuk bersama-sama menghayati hala tuju terkini pembangunan negara serta melakar sejarah negara bangsa.

Program dua hari anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dengan kerjasama UiTM itu, katanya telah mengumpulkan seramai 74 peserta daripada kepimpinan tertinggi UiTM seluruh negara dengan matlamat memperkasakan hala tuju institusi itu selaras dengan agenda Malaysia MADANI dan penghayatan Rukun Negara.

Berkongsi perkara yang ditekankan oleh beliau ketika menghadiri program itu hari ini, Zambry berkata UiTM perlu bergerak pantas seiring dengan pelbagai dimensi perubahan yang berlaku pada masa ini.

Beliau berkata UiTM tidak harus lagi dimomokkan dengan status universiti kerajaan yang mengharapkan sepenuhnya kepada kerajaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan