SUKAN

ALTIMET TAWAR BANTU BAYAR DENDA SELANGOR FC

25/06/2024 11:04 PM

SHAH ALAM, 25 Jun (Bernama) -- Penyanyi dan komposer Altimet menawarkan untuk menyumbang separuh kutipan royalti harta inteleknya tahun ini bagi membantu membayar denda skuad Selangor FC (SFC) susulan penarikan diri pasukan pada perlawanan Piala Sumbangsih, 10 Mei lepas. 

Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Selangor berkata beliau sedia berbuat demikian jika SFC sudi menerima tawaran tersebut. 

"Saya akan sumbangkan separuh kutipan royalti harta intelek saya tahun ini untuk bayar denda ini jika SFC sudi," katanya ringkas di laman X rasmi miliknya dengan menyertakan pautan berita berhubung hukuman yang dikenakan ke atas Skuad Gergasi Merah itu.

Terdahulu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan memaklumkan SFC didenda RM100,000 dan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025 susulan ketidakhadiran mereka pada perlawanan Piala Sumbangsih menentang pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Skuad Merah Kuning itu juga perlu membayar pampasan kerugian ditanggung JDT selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan musim itu dan MFL dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak.

Selain itu, perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) juga akan dimainkan tanpa penonton.

Selangor dilaporkan terpaksa menarik diri daripada menyertai perlawanan Piala Sumbangsih susulan insiden bintangnya Mohamad Faisal Abdul Halim menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan