EKONOMI

KERAJAAN, SEKTOR PERNIAGAAN PERLU BEKERJASAMA TINGKATKAN DAYA SAING

25/06/2024 09:05 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Kerajaan dan sektor perniagaan perlu bekerjasama sebagai ‘Team Malaysia’ untuk meningkatkan daya saing negara, menurut Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA).

Katanya kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia IMD terkini, yang menyaksikan negara berada di kedudukan ke-34 daripada 67 negara, turun tujuh anak tangga daripada kedudukan ke-27 pada tahun lepas, merupakan peringatan dan peluang untuk negara menilai semula keutamaannya dan mengukuhkan sinergi antara kerajaan dan perniagaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi.

Presidennya, Datuk William Ng berkata kemerosotan itu tidak boleh dikaitkan dengan kerajaan semata-mata kerana perniagaan dan rakyat turut berkongsi tanggungjawab untuk meningkatkan daya saing negara.

“Ini memerlukan penilaian semula yang segera terhadap keutamaan negara kita. Walaupun kita berhasrat untuk menjadi negara inklusif dengan mempunyai dasar yang menyokong komuniti tertentu, ini menjejaskan daya saing kita menyebabkan penghijrahan tenaga kerja dan memberikan persepsi yang salah bahawa Malaysia tidak menggalakkan pilihan dan persaingan.

“Gesaan kepada boikot baru-baru ini dan reaksi kita yang berlebihan terhadap perkara seperti konsert oleh penghibur tertentu, juga tidak membantu dalam penjenamaan dan persepsi negara kita. Ini seterusnya telah dan akan terus menjejaskan perniagaan dan ekonomi kita,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Di sebalik langkah positif kerajaan dalam mengurangkan subsidi yang berlebihan dan menutup kelemahan dalam pengelakan cukai melalui inisiatif seperti e-invois, katanya perniagaan juga perlu melakukan lebih banyak lagi untuk meliberalisasikan peraturan buruh dan memastikan rakyat Malaysia bertanggungjawab terhadap produktiviti individu.

“Sektor perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana perlu segera mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing yang tidak mahir dan separa mahir, menyesuaikan diri dengan peralihan global kepada ekonomi rendah karbon, menggunakan kecerdasan buatan dan mekanisme pendigitalan serta mengurangkan kebergantungan kepada perolehan dan bantuan kerajaan.

“Kita perlu mengamalkan prinsip ‘apa yang baik untuk perniagaan, adalah baik untuk negara’. Realiti pascapandemik ialah kebajikan rakyat di mana-mana sahaja di dunia berkait rapat dengan kemakmuran negara,” katanya.

Ng berkata apabila perniagaan dan ekonomi berkembang dengan baik, Malaysia akan dapat menjana lebih banyak pendapatan, membina jalan yang lebih baik, menaik taraf sekolah serta menyediakan keselamatan dan keselesaan yang lebih baik kepada semua rakyat Malaysia. 

“Penurunan mendadak dalam ranking daya saing merupakan peringatan untuk kita menilai semula keutamaan kita sebagai sebuah negara, membina ‘Team Malaysia’ yang lebih kukuh dan menggunakan pendekatan seluruh negara untuk menjadikan Malaysia sekali lagi lambang pertumbuhan ekonomi serta kepelbagaian budaya dan toleransi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan