AM

JKNT RANCANG TAMBAH TUJUH LOKASI TERENGGANU BEBAS ASAP ROKOK

25/06/2024 04:18 PM

KUALA TERENGGANU, 25 Jun (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) merancang untuk menambah tujuh lagi kawasan Terengganu Bebas Asap Rokok (TBAR) di seluruh negeri sebelum akhir tahun ini.

Pengarah berkenaan Datuk Dr Kasemani Embong berkata pihaknya telah mengenal pasti satu lokasi di setiap tujuh daerah yang belum mempunyai TBAR dan dokumentasi juga telah disiapkan. 

“Selepas ini ia akan masuk perbincangan di peringkat daerah bersama Pegawai Daerah dan ketua jabatan sebelum dibawa ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Sejak diperkenalkan pada 2018, hanya ada satu lokasi TBAR di Terengganu setakat ini iaitu di Pantai Batu Buruk di daerah ini. Proses mewartakan TBAR yang merupakan lokasi tumpuan orang ramai ini sedikit memakan masa kerana perlukan libat urus dengan kerajaan negeri dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Operasi Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam Siri 3/2024 di Pantai Batu Buruk, di sini hari ini. 

Tujuh lokasi tersebut ialah Taman Bandar Chukai di Kemaman, Arena Merdeka Dungun (Dungun), Pantai Pulau Kekabu (Marang), Pasar Awam Kuala Berang (Hulu Terengganu), Persisiran Pantai Teluk Ketapang (Kuala Nerus), Kawasan Jeti Pelancongan Merang (Setiu) dan Kota Putera Kampung Raja (Besut).

Mengenai TBAR sedia ada, beliau berkata pihaknya telah mengeluarkan notis sebanyak 7,800 atas kesalahan merokok membabitkan 5,409 jumlah kompaun bernilai RM1.35 juta.

Sementara itu, Kasemani berkata Terengganu mencatatkan peningkatan 5.9 peratus kes Denggi setakat Jun tahun ini berbanding tahun lepas iaitu sebanyak 125 kes.

Bagaimanapun, beliau berkata negeri itu tidak mencatatkan jumlah wabak Denggi yang teruk selain lima kes yang menurutnya terkawal dan telah tamat membabitkan masing-masing dua kes di Marang dan Besut serta satu di Hulu Terengganu.

“Kita juga tidak mencatatkan sebarang kematian akibat Denggi pada tahun ini berbanding satu kematian yang direkodkan tahun lepas,” katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan