AM

663 PROJEK PERUMAHAN SWASTA SAKIT BERNILAI LEBIH RM57 BILION BERJAYA DISELAMATKAN - NGA

25/06/2024 04:01 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) ditubuhkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya menyelamatkan 663 projek rumah melibatkan 78,554 pembeli dengan nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM57.09 bilion dalam tempoh dua tahun.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata bagi tempoh 2023, TFST berjaya menyelesaikan 452 projek perumahan swasta yang sakit dan terbengkalai melibatkan 53,697 unit rumah dengan GDV RM39.814 bilion.

“Sementara itu untuk tahun ini sehingga tempoh 31 Mei, sebanyak 211 projek swasta sakit dan terbengkalai dipulihkan melibatkan 24,857 unit rumah dengan nilai GDV RM17.28 billion,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai bentuk bantuan yang disediakan kementerian terhadap pembeli rumah yang berdepan dengan masalah "projek sakit", khususnya bagi projek perumahan di bawah inisiatif perumahan rakyat seperti RumaWip yang rata-ratanya merupakan golongan B40.

Selain itu, Nga berkata KPKT turut melaksanakan pemantauan berkala, turun padang ke tapak projek dan libat urus bersama agensi teknikal serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengenal pasti kaedah pencegahan atau penyelesaian yang lebih berfokus bersama pemaju.

Katanya, ia termasuklah mengemukakan senarai nama pembeli yang terkesan dengan projek perumahan kerajaan seperti Residensi Wilayah, PR1MA, Program Perumahan Penjawat Awam (PPAM) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) kepada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bagi mempertimbangkan penstrukturan semula bayaran pinjaman.

“KPKT sentiasa mencari alternatif terbaik yang bersesuaian dan efektif dalam pemulihan projek perumahan swasta yang sakit dan terbengkalai,” katanya.

 Menurutnya, pada masa sama KPKT sedang dalam proses meminda Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) untuk mengheret pemaju yang terlibat dalam kes penipuan atau projek terbengkalai ke mahkamah, malah melarang mereka daripada meninggalkan negara.

Menjawab soalan tambahan Manndzri sama ada kementerian itu bersedia berdepan keadaan kenaikan harga diesel dijadikan alasan kelewatan menyiapkan projek rumah, Nga berkata penyasaran subsidi diesel tidak seharusnya memberi impak  terhadap harga rumah.

“Semua pihak sedar sektor komersial ini (pembinaan) tidak menikmati subsidi disesel...dulu tiada dan sekarang pun tiada… maka saya rasa tidak ada impak langsung kepada harga rumah. Tetapi  KPKT akan sentiasa memantau dan memastikaan tiada aktiviti mengaut keuntungan yang tidak perlu dalam perkara ini,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Bahru) berhubung projek perumahan PR1MA yang mengalami kelewatan, Nga berkata terdapat 24 projek perumahan itu berstatus sakit dan KPKT sudah melaksanakan beberapa pendekatan penyelesaian.

“Semua projek PR1MA yang baru, KPKT tetap wajib melaksanakan kajian kebolehlaksanaan dan jika tidak berdaya maju...maka tak boleh laksanakan dan mana-mana kontraktor yang tiada rekod prestasi yang cemerlang atau ambil untung atas angin akan ditamatkan kontrak.

“Atas langkah proaktif yang rancak dilakukan ketika ini, saya yakin semua 24 projek PR1MA sakit akan disempurnakan menjelang akhir tahun ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan