AM

PERDANA MENTERI SAMPAIKAN BANTUAN KEPADA 11 KELUARGA MEMERLUKAN DI PADANG RENGAS

25/06/2024 04:02 PM

KUALA KANGSAR, 25 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada 11 keluarga dari kalangan B40 di Parlimen Padang Rengas hari ini. 

Sumbangan melalui Ziarah Kasih MADANI sebanyak RM11,000 iaitu RM1,000 setiap keluarga itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim. 

Muhammad Kamil berkata sumbangan itu bertujuan meringankan beban kos sara hidup mereka yang dibantu. 

Beliau berkata selain bantuan berkenaan, pihaknya turut melihat keperluan lain seperti pembaikan kediaman yang boleh disalurkan melalui Projek Mesra Rakyat (PMR) di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) kepada keluarga berkenaan.

“Ziarah Kasih MADANI ini adalah satu inisiatif yang sedikit berbeza kerana ini merupakan tuntutan dan arahan Perdana Menteri dan saya sebagai wakil telah turun ke lapangan untuk bertemu kelompok ini serta mengetahui permasalahan dihadapi.

“Objektif utama kita adalah untuk menoktahkan kemiskinan serta pada masa sama mengeluarkan mereka daripada kepompong berkenaan melalui pelbagai inisiatif yang disediakan,” katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan di kediaman seorang daripada penerima sumbangan iaitu Ahmad Zawawi, 46, di Kg Jenalik Hulu di sini hari ini. 

Sementara itu Muhammad Kamil berkata masyarakat akan terus dibekalkan dengan maklumat serta kefahaman selain membantu golongan sasar khususnya warga emas melakukan pendaftaran bagi memperoleh subsidi diesel di bawah inisiatif BUDI MADANI.

Beliau berkata kaedah itu bukan hanya membantu meningkatkan bilangan individu berdaftar malah memberi kesedaran kepada mereka tentang kelebihan yang terdapat di bawah inisiatif berkenaan.

“Lebih banyak program turun padang perlu dilakukan bagi mengenal pasti mereka yang layak supaya berdaftar terutama golongan petani atau pekebun-pekebun kecil di kawasan kampung atau pedalaman.

“Saya fikir perkara ini boleh diselaraskan di peringkat JaPen dibantu dengan agensi berkaitan. Cara ini saya rasa bertepatan untuk kita memaksimumkan kadar pendaftaran kelompok yang layak untuk menerima subsidi daripada kerajaan,” katanya. 

Inisiatif BUDI MADANI yang dibuka sejak 28 Mei lepas adalah platform untuk mengagihkan bantuan tunai subsidi diesel kepada pemilik kenderaan diesel melalui kategori BUDI Individu; dan kepada petani kecil dan pekebun kecil melalui kategori BUDI Agri-Komoditi.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan