SUKAN

PAHANG PERKEMAS PERSIAPAN ATLET KE SUKMA 2024

25/06/2024 12:36 AM

KUANTAN, 24 Jun (Bernama) -- Pahang sedang giat memperkemaskan persiapan kontinjen bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 Sarawak 2024 yang bakal berlangsung Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan Dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal berkata berdasarkan tinjauan beliau, terdapat beberapa aspek yang masih boleh ditambah baik melibatkan persediaan atlet. 

Beliau berkata pihaknya sentiasa memantau perkembangan dan persiapan atlet kerana kerajaan negeri memberi tumpuan serius dalam temasya kali ini bagi memperbaiki kedudukan supaya berada dalam kelompok lima kontinjen terbaik berbanding tempat kesembilan sebelum ini. 

"Saya dah berjumpa beberapa kali dengan pengurus dan jurulatih sukan dan telah menyatakan kesungguhan kerajaan negeri bagi memperbaiki prestasi serta pencapaian kontinjen Pahang.

"Saya telah menetapkan sekurang-kurangnya 40 pingat emas untuk dibawa pulang kontinjen Pahang dengan pelbagai inisiatif telah dilaksanakan seperti latihan di luar negara dan kenaikan elaun atlet," katanya kepada pemberita. 

Fadzli ditemui selepas meninjau persiapan atlet bagi sukan tinju di sini, hari ini dan memaklumkan empat atlet sukan itu yang berpotensi untuk membawa pulang pingat akan dihantar menjalani latihan di Thailand sebelum berangkat ke Sarawak.

Beliau berkata sasaran 40 pingat emas itu juga bukan hanya sekadar ketetapan biasa malah menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada dirinya sendiri serta Majlis Sukan Pahang.

Katanya, beliau akan terus turun padang bertemu atlet dan jurulatih acara lain bagi melihat sendiri persediakan mereka bagi memastikan sasaran ditetapkan dapat dicapai. 

 SUKMA ke-21 Sarawak 2024 bakal berlangsung 17 hingga 24 Ogos ini menyaksikan Pahang mempertaruhkan 603 atlet, masing-masing 327 lelaki dan 276 wanita dengan 50 peratus daripada mereka merupakan atlet baharu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan