AM

INSTITUSI RAJA BERPELEMBAGAAN PENTING UNTUK PELIHARA SISTEM DEMOKRASI

24/06/2024 03:06 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Institusi Raja Berpelembagaan adalah penting untuk dikekalkan bagi memastikan bahawa demokrasi berparlimen yang diamalkan negara ini sejak mencapai kemerdekaan terus terpelihara secara adil dan saksama.

Pensyarah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata ini kerana institusi berkenaan bersifat neutral serta tidak berpihak kepada mana-mana parti dalam menentukan kerajaan yang akan mentadbir negara.

Beliau berkata menerusi sistem berparlimen, antara peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara adalah untuk melantik ketua kerajaan atau perdana menteri yang akan mentadbir negara ini.

"Sekiranya tiada raja, maka siapa yang akan mengambil kedudukan Yang di-Pertuan Agong (untuk melantik perdana menteri). Berbeza dengan negara republik kerana akan berlaku pilihan raya untuk memilih presiden (jawatan setaraf Yang di-Pertuan Agong) dan mungkin di situ ada perpecahan, ini tidak bagus kerana individu dipilih sebagai presiden sudah tentu dapat sokongan orang tertentu.

"Bila ada raja maka ada kesinambungan dan tidak perlu pilihan raya untuk rakyat pilih ketua negara, cuma ada pilihan raya untuk memilih kerajaan," katanya ketika menjadi tetamu pada program "Apa Khabar Malaysia" terbitan Bernama TV hari ini.

Khairil Azmin berkata keunikan peranan Yang di-Pertuan Agong adalah apabila berlaku situasi Parlimen tergantung, yakni sekiranya tiada mana-mana parti memperoleh kemenangan majoriti pada pilihan raya umum (PRU).

Beliau berkata apabila ia berlaku Yang di-Pertuan Agong akan bertindak mengikut nasihat mahupun budi bicara dalam memperkenan pelantikan perdana menteri serta pembentukan kerajaan, pasca PRU.

"Kita mengamalkan demokrasi tetapi ia bukanlah satu sistem yang complete (lengkap). Satu daripada kelemahan demokrasi berparlimen adalah jika tiada majoriti maka siapakah perlu dilantik sebagai perdana menteri.

"Di sinilah terletaknya keunikan dan kecantikan institusi Raja. Yang di-Pertuan Agong sebagai teratas dalam politik akan memilih orang paling layak yang mendapat sokongan dalam (kalangan Ahli) Dewan Rakyat, menunjukkan fungsi Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara demokrasi," katanya.

Selain itu, beliau berkata kepentingan serta keunikan fungsi Yang di-Pertuan Agong adalah untuk menyatukan semua rakyat tanpa mengira bangsa, kaum dan agama malah memelihara agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

"Jawatan Yang di-Pertuan Agong tidak wujud sebelum merdeka dan institusi ini dijadikan simbol kemerdekaan kerana kita arif bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah simbol perpaduan. Baginda menyatukan semua rakyat tanpa mengira bangsa, kaum dan agama,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan