EKONOMI

INSTITUSI, PELABUR TEMPATAN KEMBALI BELI BERSIH EKUITI MINGGU LEPAS

24/06/2024 12:26 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Institusi tempatan kembali membeli bersih ekuiti di Bursa Malaysia minggu lepas dengan nilai RM274 juta selepas dua minggu berturut-turut membuat jualan bersih, menurut cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Dalam laporan aliran dana mingguan, penyelidikan bank pelaburan itu menjelaskan institusi tempatan membeli bersih RM57.5 juta pada Selasa, RM66.9 juta pada Rabu dan RM177.5 juta pada Jumaat, dan hanya menjual bersih RM27.9 juta pada Khamis.

“Begitu juga, peruncit tempatan juga membeli bersih minggu lepas pada RM167.1 juta selepas jualan bersih selama dua minggu berturut-turut. Mereka hanya menjual bersih RM1.7 juta pada Jumaat dan membeli bersih bagi hari lain sepanjang minggu lepas,” tambahnya.

Selepas dua minggu berturut-turut aliran masuk bersih, dana asing menjual bersih di Bursa Malaysia minggu lepas pada kadar RM441.1 juta berbanding dengan pembelian bersih bernilai RM202.4 juta pada minggu sebelumnya, menurut penyelidikan MIDF.

Pelabur asing menjual bersih setiap hari semasa minggu dagangan singkat minggu lepas susulan cuti Aidiladha pada Isnin.

“Mereka menjual bersih RM80.3 juta pada Selasa, RM120.3 juta pada Rabu, RM64.7 juta pada Khamis dan RM175.8 juta pada Jumaat,” jelasnya.

Menurut laporan itu, sektor yang mencatatkan aliran masuk asing bersih tertinggi minggu lepas ialah produk dan perkhidmatan perindustrian (RM130.4 juta), teknologi (RM65.3 juta), dan pengangkutan dan logistik (RM64 juta).

Sementara itu, sektor yang merekodkan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM529.9 juta), penjagaan kesihatan (RM56.2 juta) dan perladangan (RM36.4 juta).

Dari segi penyertaan, MIDF memaklumkan jumlah dagangan harian purata dalam kalangan pelabur asing meningkat kepada 36.1 peratus, walaupun merosot sebanyak 18.1 dan 11.1 peratus masing-masing dalam kalangan peruncit tempatan dan pelabur institusi tempatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan