AM

KERAJAAN PERSEKUTUAN SALUR GERAN RM1.452 JUTA PERKASA KRT DI MELAKA

23/06/2024 06:15 PM

MELAKA, 23 Jun (Bernama) -- Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Melaka menerima geran RM1.452 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi memperkasakan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di negeri ini.

Exco Kesihatan Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata peruntukan itu untuk diagihkan kepada 242 KRT berdaftar di negeri ini dengan setiap satu menerima kira-kira RM6,000 bagi melaksanakan program dan aktiviti kemasyarakatan.

"Setiap KRT memainkan peranan penting dan berfungsi sebagai jentera perpaduan dalam menjaga keharmonian, kesejahteraan serta keselamatan komuniti setempat.

"Dengan peruntukan tersebut mereka dapat melaksanakan program bersama komuniti di kawasan masing-masing seperti mengadakan gotong-royong menghapuskan Aedes bagi mencegah denggi," katanya kepada pemberita di Ayer Keroh di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Perasmian Penutup Sambutan Minggu Perpaduan peringkat negeri yang turut di hadiri Pengarah JPNIN Melaka Intan Suhana Yusuff.

Ngwe berkata pada tahun ini selain daripada peruntukan itu, kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan berjumlah RM300,00 kepada JPNIN menerusi pembentangan Bajet Negeri Melaka 2024.

“Ini merupakan tahun kedua JPNIN menerima peruntukan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif perpaduan seperti program Komuniti Perpaduan MADANI.

“Kerajaan negeri sentiasa komited dalam memastikan pembangunan perpaduan berlangsung dengan jayanya kerana ia memainkan peranan penting bagi sebuah negeri yang mempunyai rakyat berbilang bangsa,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Sambutan Minggu Perpaduan merupakan platform yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira suku kaum, budaya dan agama sebagai tapak interaksi sosial bagi mewujudkan hubungan yang muhibah. 

Menurutnya sambutan yang berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti Program ‘Unity Got Talent’, Pantun Perpaduan, Pertandingan Jejak Rukun Negara dan Reruai Produk Rukun Tertangga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan