AM

PENDIDIKAN: JANGAN JADIKAN PERBEZAAN BIDANG KUASA ISU - ABANG JOHARI

22/06/2024 05:34 PM

KUCHING, 22 Jun (Bernama) -- Perbezaan bidang kuasa Persekutuan dan negeri tidak seharusnya menjadi isu dalam pelaksanaan pembangunan pendidikan di Sarawak kerana usaha itu boleh dilakukan menerusi kerjasama kedua-dua pihak. 

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kedua-dua kerajaan Persekutuan dan negeri mempunyai hasrat yang sama untuk melahirkan lebih ramai bakat bagi meneruskan usaha pembangunan negara.

“Guru pula berkehendakkan anak didiknya pandai. Saya pasti anda semua mahukan anak murid anda berjaya dan menyumbang sesuatu kepada negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Pendidikan Sarawak 2024 di sini, hari ini.

Abang Johari berkata kerjasama beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha membangunkan sektor pendidikan di Sarawak bukanlah perkara baharu kerana sebelum ini mereka pernah menjadi menteri yang bertanggungjawab untuk sektor itu dalam era 90-an.

“Saya sudah bincang dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, saya kata kenapa kita tidak bekerjasama mengenai pendidikan, seperti ketika anda (Anwar) Menteri Pendidikan (sebelum ini) dan saya menjaga pendidikan di negeri,” katanya dan menambah hasrat itu sudah disuarakan kepada Anwar sewaktu lawatan Perdana Menteri ke Kota Samarahan baru-baru ini.

Beliau berkata kerajaan Sarawak telah menyatakan kesediaan untuk melaksanakan pembangunan pendidikan seperti pembaikan sekolah dan infrastruktur daif yang menjadi tanggungjawab Persekutuan menggunakan dana kerajaan negeri terlebih dahulu, sebelum dibayar balik oleh kerajaan Pusat. 

Dalam pada itu, Abang Johari turut menyatakan penghargaannya kepada kerajaan Persekutuan yang bersetuju untuk menurunkan kuasa pelaksanaan keputusan berkaitan pembangunan pendidikan di Sarawak kepada Pengarah Pendidikan Negeri. 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang telah memberi kuasa kepada Pengarah Pendidikan Sarawak dalam menguruskan pendidikan di Sarawak,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan