DUNIA

RINGGIT DIJANGKA RENDAH BERBANDING DOLAR AS MINGGU DEPAN

22/06/2024 10:26 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan lebih rendah dalam julat menghampiri 4.71 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan, kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata minggu depan akan turut menyaksikan kalangan peserta pasaran memberi perhatian kepada pengumuman data angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2024 bagi AS.

“KDNK itu dianggarkan 1.6 peratus pada April manakala anggaran kedua lebih rendah iaitu 1.3 peratus pada Mei.

“Jika data itu lebih rendah, ini akan mencetuskan spekulasi mengenai unjuran penurunan kadar faedah oleh pihak Rizab Persekutuan AS pada September," katanya kepada Bernama.

Selain itu, Mohd Afzanizam berkata terdapat beberapa siri kenyataan atau ulasan oleh pihak Fed pada minggu depan.

“Sehubungan itu, kita akan terus mendengar kenyataan sama yang mana mereka mahu mengekalkan kadar itu sehingga yakin kadar inflasi akan menjadi lebih rendah," katanya.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, ringgit mengukuh kepada 4.7110/7145 berbanding dolar AS daripada 4.7190/7225, seminggu lepas.

Selain itu, ringgit juga diniagakan meningkat berbanding kumpulan mata wang utama.

Ini termasuk naik berbanding pound Britain kepada 5.9594/9638 daripada 5.9955/9999 pada Jumaat sebelumnya, meningkat berbanding euro kepada 5.0394/0431 daripada 5.0418/0455 dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.9648/9671 daripada 3.0046/0072.

Dalam pada itu, ringgit turut diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang Asean seperti meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.00/8.02 daripada 8.04/8.05 seminggu sebelumnya.

Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 286.3/286.7 daripada 287.5/287.8 dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4785/4814 daripada 3.4857/4886 sebelumnya.

Bagaimanapun, unit tempatan itu susut berbanding baht Thailand pada 12.8495/8639 daripada 12.8328/8475 pada Jumaat minggu lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan