DUNIA

CHINA AKAN BEKERJASAMA DENGAN MALAYSIA TINGKATKAN SINERGI DALAM STRATEGI PEMBANGUNAN - LI

20/06/2024 12:42 AM

BEIJING, 19 Jun (Bernama) -- China akan bekerjasama dengan Malaysia untuk meningkatkan sinergi dalam strategi pembangunan, memanfaatkan sepenuhnya kekuatan pelengkap, dan mempromosikan kemajuan kukuh dalam projek utama seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Dua Negara, Dua Taman, kata Perdana Menteri China Li Qiang pada Rabu.

Li berkata China juga akan mengembangkan perdagangan dan pelaburan dengan Malaysia, meluaskan kerjasama dalam bidang logistik, tenaga baharu, kecerdasan buatan, ekonomi digital, dan peralatan kereta api serta mempertingkatkan kerjasama dalam pembasmian kemiskinan, untuk mencapai manfaat bersama yang lebih baik.

Beliau tiba untuk lawatan rasmi selama tiga hari di Malaysia pada Selasa, destinasi ketiga dan terakhir dalam lawatannya selama lapan hari yang telah membawa beliau ke New Zealand dan Australia.

"Kedua-dua negara juga perlu memperdalam pelancongan, pendidikan, belia, hubungan sub-nasional, pertukaran antara rakyat dan budaya, serta memudahkan perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua pihak," kata Li dalam satu kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar China..

Ia berkata China juga bersedia untuk meningkatkan koordinasi multilateral dengan Malaysia untuk bersama-sama menggerakkan Lima Prinsip Hidup Bersama Secara Aman dan nilai-nilai Asia tentang keamanan, kerjasama, keterangkuman dan integrasi, mendukung pemusatan ASEAN dalam kerjasama serantau, memajukan pelaksanaan berkualiti tinggi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

China juga komited untuk menyelesaikan rundingan untuk Perjanjian Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) Versi 3.0 secepat mungkin bagi memberi sumbangan yang lebih positif kepada keamanan, kestabilan, kemakmuran dan pembangunan di rantau ini dan dunia yang lebih luas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan